Tuesday, 16 April 2013
Sunday, 7 April 2013
Friday, 22 March 2013
Thursday, 21 March 2013
Monday, 18 March 2013
PERTANDINGAN BAHAS BAHASA MELAYU ALA PARLIMEN DAERAH SEREMBAN 1 2013
SMK Bukit Kepayang telah terpilih untuk menjadi Pengerusi Pengelola Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen 2013. Pertandingan tersebut telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 & 27 Februari 2013. Sebanyak 18 buah sekolah di daerah Seremban 1 telah mengambil bahagian. Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Encik Muhammad bin Mohd Nor ( Pen. PPD Kemanusian ) mewakili Tuan PPD Seremban.
Keputusan :
Tempat Pertama : SMK Agama Sheikh Hj. Mohd Said ( SHAMS )
Tempat Kedua : SMK Dato’ Mohd Said Nilai
Tempat Ketiga :
SMK Kompleks KLIA
:
SMK Tunku Ampuan Najihah
Pembahas Terbaik : Muhammad Al- Iqbal b. Kamarulzaman ( SHAMS )
Terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pertandingan ini.
Sinopsis Cerpen Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong
Perjalanan kehidupan Mak Timah
dalam membesarkan anak angkatnya yang cacat selama 24 tahun. Kisah
bermula dengan imbas kembali peristiwa Mak Timah yang mengambil anak
angkatnya yang digelar Pungut (diberi nama Zahara, nama asal Yap Siew
Hong) yang diambil daripada keluarga Bibik yang berketurunan Cina
peranakan. Pada peringkat awal Mak Timah berharap saiz Pungut akan
berubah apabila dia besar dan boleh membantunya apabila dewasa nanti
tetapi sebaliknya pula berlaku apabila Pungut perlu dijaga setiap masa
oleh Mak Timah kerana Pungut menjadi bisu, pekak dan tidak boleh
mengurus dirinya sendiri. Mak Timah terpaksa menguruskan segalanya. Ada
kalanya Mak Timah merungut kerana Pungut dipanjangkan umur tetapi tetap
menyayangi dan akan menjaga Pungut walaupun anak lelakinya ada
mencadangkan supaya Pungut dihantar ke rumah orang cacat. Mak Timah
berdoa agar Tuhan mengambil nyawa Pungut terlebih dahulu sebelum dia
meninggal dunia.
Sinopsis Cerpen Penanggungan
Cerpen ini
mengisahkan Kapten Mamat yang menghadapi konflik dalam dirinya setelah
didatangi oleh janda kelasinya Baharom. Masnah, janda arwah Baharom ialah
saudara jauh sebelah bapanya. Masnah datang menuntut haknya sebagai
seorang janda. Suaminya Baharom meninggal selepas jatuh dari tiang
geladak kapal yang dikemudi oleh Kapten Mamat. Kapten Mamat sangat
bersimpati dengan Masnah namun apa dayanya. Isteri Kapten Mamat cuba
mententeramkan Masnah namun gagal. Masnah meluahkan kekecewaannya kerana
nasibnya tidak terbela selepas kematian suaminya, Baharom. Kapten Mamat
berjanji untuk membela nasib Masnah. Keadaan menjadi kelam kabut
apabila, Masnah tiba-tiba pengsan. Isteri Kapten Mamat menyuruhn ya
memanggil bomoh. Namun Kapten Mamat tidak percayakan khidmat bomoh lalu
dia menggosokkan tapak kaki Masnah. Kemudian dia menyuruh isterinya
memercikkan air ke muka Masnah. Akhirnya Masnah sedar dari pengsan.
Kapten Mamat menyuruh Masnah balik ke kampong untuk menenangkan jiwanya.
Dia juga menyuruh Masnah berjumpa doktor untuk mengetahui penyakit yang
dialaminya. Masnah akhirnya akur dengan nasihat Kapten Mamat. Sehebat
mana penanggungan masalah yang dihadapinya, Masnah akur dengan ketentuan
Tuhan bahawa setiap yang hidup akan mati.
Cerpen Pahlawan Buntung
Khalid telah bertemu kembali dengan Pak Husain yang berkaki kudung. Pertemuan itu menyebabkan Khalit mengingat kembali kepada kisah lampau yang berlaku ketika tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa. Khalid memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia setahun yang lalu. Khalid terkenang peristiwa 34 tahun dahulu, sebelum dia bersama keluarganya telah berpindah ke kota.
Ketika tentera Jepun mendarat di Kelantan, Pak Husain berusia 30 tahun dan Khalid berusia 14 tahun. Mereka tinggal di Kampung Pulau Pak Amat. Tentera Jepun mendarat dan membunuh askar-askar Punjabi. Pak Husain telah mengarahkan keluarga Khalid dan penduduk kampung berpindah. Mereka mengekori langkah Pak Husain dari belakang sehinggalah mereka ditinggalkan di selekoh batas. Suasana ketika itu sangat mencemaskan kerana bedilan senapang dan letupan bom berlaku di mana-mana. Ketika mereka mahu menaiki perahu, sebuah ledakan jatuh di depan mereka. Rumah Mak Esah terbakar. Mak Esah dan anaknya telah menjadi korban tentera Jepun. Perahu bergerak pantas sebelum diserang oleh tentera Jepun. Dalam keadaan kelam-kabut itu mereka mendapati Pak Husain tiada bersama-sama mereka.
Penduduk kampung berkumpul di Kampung Dal. Khalid dan rakan-rakannya menyeberangi sungai Pangkalan Cepa. Mereka mendapati Pangkalan Cepa sudah terbakar. Mereka kemudiannya pulang semula ke Kampung Dal. Ketika itu Pak Husain ada bersama-sama. Pak Husain menceritakan punca kehilangannya. Dia telah ditahan oleh tentera Jepun dan menyuruhnya menggali kubur besar untuk menanam mayat mangsa perang yang terbunuh.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, rompakan sering berlaku. Pak Husain telah menembak perompak tersebut yang masih di dalam perahu dengan menggunakan senapang yang diambil daripada mayat askar Punjabi. Pada satu pagi, Pak Husain terkena letupan bom peninggalan perang. Beliau tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Kota Bharu. Kaki Pak Husain dipotong.
Kisah silam terputus dan kini Khalid berhadapan dengan Pak Husain. Khalid menjemput Pak Husain ke rumahnya di Jalan Bayam, tetapi Pak Husain menolak kerana dia mahu ke Padang Bemban, rumah cucunya.
Sinopsis Novel Papa (... akhirnya kau tewas jua )
Bab 1
Selepas berehat di dalam biliknya, Julia turun ke dapur di
tingkat bawah rumahnya. Dia mendapati pembantu rumahnya, Mak Cik Noraini,
sedang sibuk membancuh kopi dan mengoreng karipap bagi hidangan minum petang
mereka. Mak Cik Noraini yang memahami gelagat Julia yang asyik memerhatikan
karipap yang digorengnya itu, terus menyuruh Julia memakan sebiji karipap dan
meninggalkan selebihnya kepada papa dan mama Julia.
Mak Cik
Noraini terus menghidangkan secawan kopi O kepada Julia sambil memerhatikan
sesuatu di luar tingkap. Julia turut mengikuti perlakuan MakCik Noraini itu. Di
luar rumah, kelihatan papa dan mama sedang bercakap-cakap di kebun sayur papa.
Mereka berdua memerhatikan kemesraan
yang ditunjukkan oleh papa dan mama.
Mereka
memberikan tumpuan kepada percakapan antara papa dan mama tantang sayur kacang
panjang yang ditanam oleh papa serta masakan yang perlu disediakan oleh mama
untuk makan malam bagi mereka berempat. Papa mengharapkan mama yang akan
memasaknya sendiri dan bukannya Mak Cik Noraini, kerana bagi papa, masakan mama
amat sedap serta sentiasa memenuhi seleranya.
Perbualan
papa dan mama kemudiannya berkisar
tentang tanaman jagung yang ditanam oleh papanya. Papa yang mengharapkan
mama yang akan memasaknya, terus membuat mama merajuk buat seketika sebelum
mereka berdua beriringan masuk ke dalam rumah dengan penuh mesra untuk
menikmati hidagan petang.
Bagi Julia
dia amat mengagumi kasih sayang yang ditunjukkan oleh papa dan mama, tetapi
kadang kala dia berasa bosan melihatkan telatah mereka berdua. Dia berpendapat
bahawa papa dan mama tidak patut berkelakuan seperti itu memandangkan dia kini
sudah meningkat remaja. Mak Cik Noraini yang banyak menyimpan rahsia papa dan
mama hanya tersenyum mendengar rungutan Julia itu.
Bab 2.
Julia terpaksa pulang dari sekolah bersendirian. Mama, Cikgu
Intan Maliana yang sakit telah di jemput oleh papa, Encik Jefri atau lebih
dikenali sebagai Cikgu Jefri. Pada petang itu, hanya Julia dan Mak Cik Noraini,
pembantu rumah yang tekun dan taat yang berada di rumah. Mak Cik Noraini sudah
lama berkhimat di rumah Julia. Papa yang kini bertugas sebagai Pensyarah
Ekonomi di Kolej Iktisas serta mama mengasihinya seperti saudara sendiri.
Dalam
usianya yang menjangkau 16 tahun dan masih menuntut dalam tingkatan 4, Julia
berasa kagum akan keunggulan dan kesetiaan papa yang sangat mencintai mama. Hal
ini membuat Julia juga ingin bertemu jodoh dengan lelaki sebaik papa kelak.
Malah dia merasakan hubungan papa dan mama amat bahagia. Julia kemudiannya
terkenangkan peristiwa jari mama berdarah kerana terhiris pisau. Papa yang
begitu mengambil berat akan keadaan mama pada masa itu ternyata menyerlahkan
lagi kasih sayang papa terhadap papa.
Semasa Mak
Cik Noraini menghidangkan bubur jagung yang turut menjadi kegemaran papa dan
mama kepada Julia, dia menceritakan kisah percintaan papa sehinggalah kepada
nostalgia pertemuan antara papa dan mama yang menarik tumpuan Julia.
Julia terus
mendapatkan papa dan mama apabila menyedari mereka sudah pulang. Julia lalu
menanyakan kesihatan mama. Papa dan mama hanya tersenyum tanpa memberikan
jawapannya. Setelah ditanya lagi oleh Julia, papa dengan perasaan gembira
memaklumkan bahawa mama sedang mengandung. Julia amat gembira apabila
mengetahui hal tersebut. Mak Cik Noraini turut gembira tetapi turut
mengingatkan papa dan mama tentang masalah yang pernah menimpa mama sewaktu
melahirkan Julia. Papa akur akan kata-kata Mak Cik Noraini dan menyerahkan
segala-galanya kepada Allah.
Bab 3.
Julia pulang dari sekolah ketika lewat petang. Sebaik sahaja
sampai di rumah, Julia terdengar perbualan antara mama dengan Mak Cik Noraini.
Mak Cik Noraini menasihati mama supaya membuat keputusan yang tepat berkenaan
kandungannya agar tidak menjejaskan kesihatannya seperti yang telah berlaku
semasa melahirkan Julia. Menurut kata Mak Cik Noraini lagi, mama telah
kehilangan banyak darah dan menyebabkan kesihatannya terganggu. Mama juga tidak
sedarkan diri selama beberapa bulan.
Walaupun
mama mendengar nasihat Mak Cik Noraini, namun mama tetap berkeras untuk
meneruskan kandungan kerana papa sangat menginginkan anak. Atas ketelusan serta
kasih sayangnya terhadap papa, mama sanggup berkorban demi papa. Julia amat
tersentuh apabila mendengar kata-kata mama itu.
Sebaik
sahaja papa pulang dari tempat kerja, Julia mengajak papa bermain tennis di
Kelana Jaya. Pada mulanya, papa menolak ajakan Julia itu, tetapi bersetuju
semula setelah Julia menyatakan dia akan mengajak mama bermain dengannya.
Sewaktu bermain tennis, Julia teringat
akan perbualannya dengan mama tentang papa. Papa sentiasa diminati oleh gadis
lain tanpa menghiraukan mama yang berada di sisi papa. Mama tidak menyukai
kebebasan gadis tersebut lantas menasihati Julia tidak berkelakuan sedemikian.
Kehilangan
tumpuan ketika bermain menyebabkan Julia terkena bola tenis yang dipukul oleh
papa. Semasa papa sedang mengosok dan menuam kesan lebam di mukanya, seotang
gadis yang bernama Aisyah, pelajar kolej di tempat papa mengajar, menyapa
mereka. Kemudian, papa terus mengajak Aisyah minum bersama-sama mereka.
Bagaimanapun, Julia tidak begitu selesa dengan kehadiran Aisyah. Papa pula
memberitahu bahawa Aisyah ialah pelajarnya di kampus dan mereka sering
berbincang tentang pelajaran.
Bab 4.
Mama merungut apabila Julia terlewat ke tempat letak kereta.
Mama terpaksa cepat kerana dia ingin menghantar Cikgu Suzie ke bengkel kereta
di seksyen 14. Julia memohon maaf atas kelewatan kerana beberapa rakan
sekelasnya meminjam buku nota Geografi miliknya. Mama yang juga guru di sekolah
yang sama tidak menyukai perbuatan mereka.
Dalam perjalanan ke Seksyen 14, Cikgu Suzie menasihati mama
agar berfikir semasak-masaknya untuk meneruskan kandungan yang dikandungnya
itu. Cikgu Suzie bimbang akan kesihatan mama yang pernah mengalami komplikasi
yang agak teruk sewaktu melahirkan Julia. Walau bagaimanapun, mama tetap dengan
keputusannya untuk meneruskan kandungannya. Dia beranggapan segala perbuatan
adalah pengorbanan dan kasih sayang seorang isteri tercinta terhadap suami
tercinta.
Sebelum
Cikgu Suzie keluar dari kereta, mama berterima kasih atas peringatan dan
nasihat yang diberikan kepadanya. Bagi mama, hanya wanita berkahwin yang akan
dapat merasai nilai kasih sayang seorang isteri terhadap suami.
Bab5.
Mama bakal melahirkan anak kembar dalam masa empat bulan
lagi. Wajah papa semakin berseri-seri menantikan anak kembar yang bakal
dilahirkan. Kini, papa banyak meluangkan masa bersama-sama mama. Papa juga
sanggup menghantar serta mengambil mama dan Julia dari sekolah kerana tidak
mahu mama memandu sendirian bersama Julia. Papa lebuh gembira apabila melihat
perkembangan diri mama yang menunggu masa empat bulan lagi untuk bersalin.
Mama agak
bimbang untuk bersalin kali kedua kerana pernah mengalami komplikasi ketika
melahirkan Julia dahulu. Papa cuba meyakinkan mama dan menanyakan persediaan
terhadap segala kemungkinan yang bakal berlaku. Bagi papa, segala apa yang
berlaku adalah ketentuan Tuhan.
Julia cuba
mendapatkan maklumat yang jelas daripada MakCik Noraini tentang masalah yang
dialami ole mama ketika melahirkannya. Menurut Mak Cik Noraini, badan Julia
sangat kecil dan kelahirannya juga tidak cukup bulan. Mak Cik Noraini
menjelaskan segala dugaan terhadap keluarga Julia sehingga menitiskan air mata.
Bab 6.
Aisyah seorang pelajar yang sungguh meminati pengajaran papa
dan sering menemui papa untuk bertanya tentang pelajarannya. Dia sering
menumpang kereta papa hingga ke rumahnya di seksyen 7, Kelana Jaya. Dia juga
sering mengajak papa minum di warung yang berhampiran dengan kolej. Walau
bagaimanapun, papa menolaknya kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan anara
mama, dia dan Julia.
Menurut
papa, Aisyah ialah pelajar tahun akhir dan merupakan anak kepada hartawan
ternama, yang tidak perlu gusar akan pencapaian akademiknya kerana harta yang
dimiliki oleh ayahnya sudah dapat menjamin kemewahan dan keselesaan hidupnya.
Julia cuba
menguji kesetiaan papa terhadap mama dengan cara mengusik dan memberikan kebenaran
sekiranya papa berminat untuk menjadikan Aisyah sebagai kekasih dan seterusnya
isteri keduanya. Papa menolaknya dan menyatakan dia tidak berniat untuk
menjalinkan hubungan dengan Aisyah. Papa sudah berpuas hati dengan keadaan
keluarganya ketika itu. Papa juga menyatakan bahawa dia tidak sanggup menduakan
kasih sayangnya terhadap mama.
Bab 7
Tahun baru
datang kembali. Julia sudah memasuki tingkatan lima. Kandungan mama juga
semakin membesar kerana mengandungkan anak kembar lelaki. Papalah yang paling
gembira mendengar berita tersebut. Papa begitu sibuk menyediakan pelbagai
kelengkapan untuk anak kembarnya itu. Namun, tindakan papa sering ditegur oleh
Mak Cik Noraini kerana baginya tidak elok membeli barangan bayi pada peringkat
awal kehamilan. Mak Cik Noraini bimbang sebarang kemungkinan yang tidak
diingini berlaku tetapi papa berkeras dengan segala tindakannya, kerana
baginya, segala-galanya sudah ditentukan oleh Tuhan.
Julia sibuk
mengulang kaji pelajarannya untuk menghadapi peperiksaan SPM walaupun
peperiksaan yang bakal didudukinya itu masih lambat lagi. Julia sentiasa mendengar
nasihat papa supaya bersedia lebih awal supaya kekesalan tidak berlaku.
Pada suatu
hari, jam empat pagi, Julia dan Mak Cik Noraini dikejutkan oleh papa kerana
mama sudah menunjukkan tanda sakit untuk bersalin. Julia membantu papa memapah mama
yang menhan kesakitannya menuruni anak tangga hingga ke kereta. Mak Cik Noraini
pula membawa bekalan mama untuk dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan
Malaysia (HUKM). Dalam serba kekalutan itu, mama berjaya dihantar ke hospital
dengan selamat.
Semasa dibawa masuk ke bilik pembedahan,
mama sempat meminta maaf daripada papa dan meminta keredaan papa atas segala
kemungkinan yang akan berlaku.
Bab 8.
Papa, Julia dan Mak Cik Noraini sudah lama menunggu di luar
bilik pembedahan dengan penuh keresahan. Mereka sudah tidak sabar menunggu
berita tentang mama daripada doktor yang merawatnya. Tidak lama kemudian,
seorang doktor keluar dari bilik pembedahan dan meminta kebenaran papa untuk
melakukan pembedahan ke atas mama kerana terdapat komplikasi terhadap
kandungannya. Papa menandatangani surat kebenran tersebut. Semasa pembedahan
dijalankan, papa berdoa kepada Allah supaya mama dan anak kembarnya itu
selamat. Mereka semua menunggu pembendahan itu selesai dalam suasana dingin dan
mendebarkan.
Selepas 3 jam, doktor yang bertanggungjawab
melakukan pembedahan itu keluar mendapatkan papa. Wajah papa dan Mak Cik
Noraini kelihatan pucat menantikan berita yang akan disampaikan oleh doktor
itu. Doktor menyatakan mama berjaya melahirkan anak kembar siam tetapi
malangnya kedu-duanya telah meninggal dunia sejak di dalam kandungan lagi.
Menurutnya lagi, anak kembar yang dikandung mama ialah anak kembar siam, yang
bahagian belakangnya melekat dari kepala hingga ke bahagian punggung. Julia dan
papa berasa sangat sedih atas kehilangan tersebut.
Menurut
doktor lagi, mama telah kehilangan banyak darah dan masih dalam keadaan koma.
Julia menangis teresak-esak apabila mengenangkan kesedihan yang berlaku, begitu
juga Mak Cik Noraini yang turut mengesatkan air matanya. Julia berasa kagum
akan ketabahan papa dan kesabaran papa dalam menghadapi ujian Tuhan itu.
Papa, Julia
dan Mak Cik Noraini menjenguk mama yang ditempatkan di bilik ICU dengan
ditemani wayar-wayar halus yang berselirat di mulut, hidung serta lengannya.
Selepas segala urusan selesai, mereka semua pulang ke rumah untuk menguruskan
jenazah kedua-dua bayi kembar itu untuk disemadikan. Papa menamakan mereka
Ahmad dan Muhammad.
Papa
memaklumkan perkara tersebut kepada pihak universiti dan sekolah. Kebanyakan
kenalan, saudara dan rakan sekerja papa dan mama yang telah mengetahui insiden
tersebut datang menziarahi mereka. Aisyah juga datang menziarahi mereka dan
sempat menasihati papa supaya tabah menghadapi cabaran tersebut.
Bab 9.
Papa
menghantar Julia ke sekolah setiap hari sementara menunggu mama pulih daraipada
koma. Papa meminta Julia menunggunya selepas tamat waktu persekolahan dan
melarang Julia menaiki bas pulang ke rumah. Julia berasa kurang senang dengan
permintaan papa itu kerana papa sering lambat mengambilnya. Namun begitu,
sebagai ayah, papa berjaya memujuk Julia.
Julia disapa
oleh Rasylan, pelajar baru yang ditukarkan ke sekolah itu dan sekelas denga
Julia. Rasylan melihat kemesraan papa dan Julia. Rasylan juga meminta kebenran
Julia untuk mengenali mama dan papa dengan lebih dekat. Perasaan Julia
tersentuh apabila Rasylan menyebut nama ’mama’. Mata Julia menjadi merah kerana
menangis sehingga dapat dikesan oleh Rasylan. Tanpa mengetahui hal sebenar,
Rasylan telah memohon maaf daripada Julia jika dia telah menyinggung perasaan
Julia.
Apabila
kelas bermula, kawan baik mama dan sangat mengambil berat akan diri mama ,
iaitu Cikgu Suziyah atau lebih dikenali Cikgu Suzie, yang mengajarkan subjek
Matematik menemui Julia. Dia menyatakan hasratnya untuk mengajak Julia
menemaninya menziarah mama di hospital. Pelawaan itu ditolak baik oleh Julia
kerana dia akan ke hospital dengan papa selepas tamay waktu persekolahan. Julia
mencadangkan Cikgu Suzie mengikuti kereta papa dari belakang nanti.
Selepas
waktu rehat, Rasylan menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan Julia selepas
tamat sesi persekolahan, tetapi Julia menolak permintaan tersebut dengan alasan
ingin menziarah mama di hospital bersama dengan papa dan Cikgu Suzie.
Bab 10.
Apabila sampai di hospital, papa, julia dan Cikgu Suzie
terus menuju ke wad ICU. Sebelum memasuki bilik ICU, mereka dikehendaki memakai
pakaian yang dikhaskan oleh pihak hospital. Mereka juga terpaksa memakai kasut
khas sebelum masuk ke dalam bilik ICU itu. Papa memaklumkan kedatangan kami
kepada mama dengan ungkapan yang menyentuh perasaan. Julia perasan bahawa mata
papa merah selepas menyatakan bahawa mereka amat merindui mama.
Pada hari
papa tiada di rumah kerana masih belum pulang dari tempat kerjanya. Julia
mengambil peluang mengulang kaji pelajarannya di dalam bilik bacaan yang sering
digunakan oleh papa. Sedang dia tekun menelaah, Julia terpandang gambar pada
usia perkahwinan papa dan mama kira-kira 17 tahun yang lalu. Kemudian, Julia
membaca surat yang pernah diutuskan oleh papa dan mama yang tiada tolok
bandingannya itu.
Julia duduk
mengenangkan Mak Cik Noraini yang sudah dianggapnya sebagai ibu keduanya kerana
dialah yang menjaganya sejak Julia dilahirkan. Mak Cik Noraini merupakan sepupu
papa. Sejak kematian suami dan anak-anaknya dalam kemalangan jalan raya
kira-kira 17 tahun lalu, papa mengajaknya tinggal bersama-sama papa dan mama
supaya dia dapat melupakan semua kesedihan sedih itu.
Julia juga teringatkan Murni, rakan
sekelas yang agak mencemburuinya. Malah Murni juga cuba mempengaruhi
rakan-rakan yang lain supaya turut memusuhinya. Tindakan Murni itu menyebabkan
Julia berasa sedih. Rasylan cuba memujuk dan menasihati Julia supaya bersabar
kerana baginya masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi nanti.
Tidak lama
selepas itu, papa pulang selepas melawat mama di hospital. Julia berasa marah
dan merajuk dengan tindakan papa yang pergi ke hospital tanpa mengajaknya.
Walau bagaimanapun, rajuknya hilang apabila papa menjelaskan keadaan yang
sebenar. Mak Cik Noraini kemudiannya mengajak papa dan Julia makan hidangan
yang sudah disediakan. Sewaktu mereka berdua sedang menikmati hidangan, papa
menerima panggilan daripada pelajarnya, Aisyah.
Bab 11
Keadaan mama
masih belum berubah.
Sewaktu Julia baru pulang daripada menduduki kertas
Matematik peperiksaan SPM, dia terdengar perbualan antara papa dan Mak Cik
Noraini di meja makan. Dalam perbualan tersebut, Mak Cik Noraini mencadangkan
papa berkahwin lagi supaya kehidupan papa kembali ceria seperti dahulu. Walau
bagaimanapun, papa menolak cadangan Mak Cik Noraini itu dan kata papa, dia juga
perlu menjaga hati Julia.
Julia
bertekad tidak mahu lagi mendengar perbualan tersebut kerana akan mengguris
hatinya. Papa yang menyedari kepulangan Julia terus bertanyakan perihal
peperiksaan Julia pada hari itu. Papa mengharapkan Julia mendapat pencapaian
yang terbaik.
Seterusnya
Julia meminta izin dan mengharapkan kebenaran papa untuk ke rumah Rasylan
selepas selesai kertas Geografi pada keesokan harinya. Namun demikian, papa
menasihati Julia supaya menjaga maruah sebagai seorang perempuan dan
mencadangkan Julia mengajak rasylan ke rumah mereka dahulu untuk mengenalinya
sebelum Julia pergi ke rumah Rasylan. Kata-kata papa itu telah memberika
harapan tinggi terhadap perhubungganya dengan Rasylan.
Bab 12
Ketika
menunggu papa untuk makan malam bersama, Julia menerima panggilan telefon
daripada Aisyah, pelajar papa. Aisyah meminta kebenaran papa untuk mengajak
Julia bermain tenis bersama-sama pada keesokan harinya dan papa membenarkannya.
Keesokan
harinya, sekembalinya daripada menghadapi kertas terakhir peperiksaan SPM,
Julia menerima kejutan apabila tiba di rumah. Julia berasa sangat gembira
menerima kepulangan mama walaupun keadaan mama masih seperti biasa, koma. Tanpa
pengetahuan Julia dan Mak Cik Noraini, papa sudah membeli katil dan segala
peralatan untuk mama di rumah.
Pada
petangnya, Aisyah tiba di rumah Julia untuk mengajaknya bermain tenis seperti
yang telah dijanjikan. Julia cuba menolak tetapi papa terlebih dahulu
menggesanya supaya mengikut Aisyah. Julia memaklumkan berita kepulangan mama
kepada Aisyah dan menyatakan bahawa dia akan menjaga mama sehingga sembuh.
Hasratnya itu dipertikaikan oleh Aisyah atas alasan, Julia perlu menyambung
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Aisyah menasihati Julia supaya
memberikan lebih tumpuan terhadap pelajaran kerana itulah tanggungjawab Julia
yang utama.
Selepas
bermain tenis, Aisyah membawa Julia ke balik ke rumahnya dan memperkenalkan
Julia kepada ayah dan umminya yang kebetulan ada di rumah. Bapa Aisyah, Datuk
Mahazar Sheikh Mohammad, ialah seorang tokoh korporat dalam bidang pengiklanan.
Menjelang
malam, barulah Aisyah menghantar Julia pulang ke rumah, menyebabkan papa
menjadi kurang senang dan marah.
Bab13.
Kini sudah lapan bulan mama terlantar koma di atas katil.
Keputusan SPM juga akan diumumkan beberapa minggu sahaja lagi. Julia berasa
resah dan gelisah menantikan keputusan tersebut. Selama itu juga papa tetap
mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mama. Julia sendiri
tidak pernah mempertikaikan pengorbanan dan keprihatinan papa terhadapnya dan
mama. Papa sering bercakap-cakap dengan mama walaupun tiada balasan dari mama.
Papa turut menyatakan harapannya supaya Julia mendapat keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan SPM dan berjaya menyambung pelajaran di universiti sehingga
memperoleh segulung ijazah seperti yang diperoleh oleh papa terdahulu.
Rasylan pula
menyahut cabaran untuk berjumpa papa. Rasylan banyak bertanya tentang perihal
mama yang ada kalanya menguris perasaan papa. Papa kemudiannya menceritakan
kisah ibu bapanya setelah mengetahui latar belakang ibu bapa angkat Rasylan.
Menurut papa, dia sudah mengenali ayah angkat Rasylan, Datuk Mustakim, sejak
Julia berumur empat tahun lagi. Pada
masa itu, Datuk Mustakim telah melanggar kedua-dua ibu bapa papa sewaktu mereka
pulang daripada sembahyang sunat tarawih di surau. Ayah papa telah meninggal
dunia di tempat kejadian manakala emaknya pula disahkan lumpuh buat
selama-lamanya.
Rasylan cuba
untuk mengaturkan pertemuan papa dengan ayah angkatnya itu, tetapi papa menolak
kerana kemungkinan dia masih lagi marah kepada Datuk Mustakim yang telah
mengakibatkan kematian ibu bapanya.
Bab 14.
Ketika Julia dan Rasylan keluar bersama, Rasylan mengatakan
bahawa papa Julia seorang yang sombong. Julia mula berasa berang dengan
kenyataan Rasylan itu dan bertanya sebabnya kepada Rasylan. Rasylan memberikan
pendapatnya bahawa kedudukan papa sebagai pensyarah di salah sebuah universiti
tempatan yang berkelulusan daripada universiti luar negara, telah menyebabkan
sikapnya menjadi hidung tinggi.
Menjelang
senja, barulah Julia pulang ke rumah. Di rumah, Julia mendapati Mak Cik Noraini
sedang berada di dapur. Papa pula menyindir Julia tentang Rasylan. Papa
menyatakan bahawa dia tidak suka Julia berkawan dengan Rasylan.
Selepas
Solat Maghrib, Julia memberanikan diri menanyakan punca tindakan papa tidak
merestui hubungannya dengan Rasylan. Menurut papa, latar belakang seseorang itu
terutamanya dari sudut asal keturunan amat penting dalam sesuatu hubungan.
Namun demikian, Julia masih belum berpuas hati dengan penjelasan papa, tetapi
dia terpaksa menerima permintaan papa walaupun dengan berbohong demi menjaga hubungan
baiknya dengan papa.
Bab 15.
Julia dan Rasylan mendapat keputusan yang cemerlang dalam
SPM. Mereka ingin meraikan kejayaan itu di Starbucks Coffee di sebuah bangunan
pasar raya. Sewaktu mereka sedang melintasi deretan kereta berhampiran pasar
raya itu, Julia terpandang kereta Honda CRV milik papa. Julia berasa bimbang
kerana takut akan pertemuannya denga Rasylan diketahui papa. Julia terpandang
satu pasangan di dalam sebuah restoran yang berhampiran dengan tempat letak
kereta papa. Julia tidak menyangka yang dia akan menemui pasangan itu yang
asyik makan sambil berbual-bual dan tersenyum serta kadang kala ketawa.
Pada petang
itu, Julia pulang ke rumah denga perasaan tidak tenteram dan dendam yang tidak
membuak-buak. Papa kelihatan ceria dan gembira menyambut kepulanganya. Papa
mengucapkan tahniah atas kejayaanya dalam peperiksaan SPM. Papa menanyakan
universiti yang akan dipilih oleh Julia untuk menyambung pelajarannya. Julia
mengatakan bahawa dia berminat menyambung pengajian peringkat matrikulasi di
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana pendidikan agama lebih
dititikberatkan di situ.
Papa meminta
Julia menjelaskan sebab pilihan itu dibuat. Julia menjelaskan bahawa setiap
wanita Islam wajib menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Julia
juga turut menyentuh isu poligami dalam perbincangan tersebut. Wajah papa
berubah sebaik sahaja Julia menyebutkan perkataan poligami.
Julia
menolak saranan papa untuk mendapatkan tempat bagi Julia di UIA dengan
pertolongan kawan papa di kementerian. Julia juga menyatakan bahawa dia
berminat untuk membuat pengkhususan dalam bidang ekonomi dan berharap akan
menjadi seorang pakar ekonomi pada suatu hari nanti.
Bab 16
Papa memberitahu mama tentang impian Julia yang ingin memasuki
Kolej Matrikulasi di UIA. Kata papa, Julia akan mengambil kursus ekonomi dan
ingin menjadi pakar ekonomi yang disegani dan dihormati kelak.
Permohonan
Julia untuk ke Kolej Matrikulasi, UIA telah diterima. Papa akan menemani Julia
mendaftar di UIA. Sebelum meninggalkan rumah, Julia ingin menemui mama terlebih
dahulu dan menceritakan hal tersebut kepada mama. Setibanya di bilik mama,
Julia terdengar papa berbicara dengan mama. Hati Julia tersentuh apabila
mendengar kata-kata papa. Julia tahu pastinya papa akan kesunyian setelah
ketiadaanya. Malah, Julia juga bimbang akan kegemaran papa kini yang suka
bercakap berseorangan dengan mama yang masih lagi koma. Julia seterusnya
berjanji kepada papa yang dia akan pulang ke rumah menemani papa dan mama pada
setiap hujung minggu sekiranya tiada tugasan atau halangan.
Papa
menghantar Julia untuk pendaftaran pada hari pertama. Julia ditempatkan di
Asrama Siti Khadijah. Sebelum naik ke biliknya, Julia berjumpa dengan Rasylan
yang juaga menuntut di UIA. Dia ditempatkan di Asrama Usman bin Affan. Rasylan
menyatakan bahawa dia serba kekurangan terutamanya kasih sayang berbanding
dengan Julia yang sering dilindungi oleh papa. Julia pula hanya mendengar
keluhan Rasylan tanpa berkata apa-apa.
Julia
memberitahu Rasylan bahawa dia akan pulang ke rumah pada hujung minggu ini
kerana merindui papa, mama dan Mak Cik Noraini. Rasylan pula mengatakan bahawa
dia tidak akan pulang ke rumah kerana Datuk Mustakim dan keluarganya tidak ada
di rumah. Mereka sekeluarga akan menziarahi anak lelaki Datuk Mustakim yang
sedang belajat di MCKK. Rasylan berasa kesunyian dan nasibnya amat berbeza
dengan Julia. Julia cuba memujuk Rasylan dengan menyatakan bahawa dia akan
sentiasa memujuk Rasylan dengan menyatakan bahawa dia akan sentiasa berada di
sisi Rasylan dalam menghadapi segala dugaan.
Pada
keesokan harinya, Rasylan menemani Julia membeli buku di MPH Mid Valley.
Selepas membeli empat buah buku, Julia mengajak Rasylan ke Starbucks Coffee.
Teguran Rasylan terhadap cara Julia berbelanja, menyebabkan Julia teringat akan
teguran papa ketika mama berbelanja. Setibanya di kedai itu, Julia terpandang
seorang lelaki dan seorang perempuan yang amat dikenalinya sedang duduk minum
sambil berbual dengan begitu mesra sekali.
Bab 17.
Julia pulang ke rumah tanpa bertemu dengan Rasylan terlebih
dahulu. Dia sudah tidak sabar untuk menemui mama yang masih tidur dengan lena
dan dia juga ingin bertanya kepada papa tentang hubungan yang sebenarnya antara
papa dengan gadis tersebut.
Setibanya di
rumah pada petang sabtu, Julia terus mendapatkan papa lalu memeluk dan mencium
papa. Mak Cik Noraini yang melihat kelakuan papa dan Julia yang dirasakannya
agak kurang sopan, terus menegurnya. Katanya, sebagai sebagai anak dara, Julia
tidak sepatutnya duduk terlalu rapat dengan papa kerana takut berlaku perkara
yang ditegah oleh papa. Papa mengakuinya lalu terus memohon maaf.
Di dalam
biliknya, Julia teringat akan pertemuan papa dengan gadis itu dan memikirkan
apa hubungan papa dengannya. Dia tidak pasti sekiranya papa ingin mengambil
gadis tersebut sebagai pengganti mama.
Selesai
menunaikan solat, Julia berdoa supaya Allah memanjangkan umur mama dan
memberikan kesempatan sekali lagi buat mama supaya kebahagian mereka sekeluarga
akan sama seperti dahulu. Julia kemudiannya ke bilik mama. Julia melihat papa
sedang membaca Surah Yassin untuk mama dan seterusnya memohon daripada Allah
supaya mama selamat. Julia begitu tersentuh dengan segala pengorbabanan yang
dilakukan oleh papa terhadap mama. Kini papa banyak meninggalkan sebilangan
besar aktiviti semata-mata ingin menjaga mama. Tubuh papa juga semakin kurus
dan kulit mukanya juga semakin menampakkan dirinya sudah tua.
Keesokannya
papa menghantar Julia kembali ke UIA. Papa memberikan sejumlah wang yang banyak
kepada Julia kerana Julia tidak akan pulang pada minggu hadapan. Sewaktu makan
malam, Rasylan menemui Julia dan bertanyakan kesihatan mama dan mereke turut
berbincang tentang tugasan yang perlu disiapkan.
Pada hari
minggu, semasa Julia sedang sibuk dengan tugasannya, panggilan telefon papa
menggangunya. Pada mulanya Julia enggan menjawab panggilan tersebut, tetapi
apabila memikirkan kalau-kalau papa menelefonnya kerana ingin memberitahu
tentang mama, Julia terus menjawabnya.
Tidak lama
selepas itu, Rasylan pula yang menelefon Julia dan mengajaknya A&W di
Seksyen 17. semasa ingin menemui Rasylan, Julia melihat Encik Muaz al-Khalibi
menahan Rasylan dan bercakap-cakap dengannya. Rasylan kemudiannya menjelaskan
kepada Julia bahawa dia diminta oleh Encik Muaz al-Khalibi yang berasal dari
Jordan itu supaya melakukan ujian DNA kerana wajah Rasylan dikatakan mirip
wajahnya. Julia pula tiba-tiba teringat akan pesanan papa supaya tidak bergaul
dengan Rasylan kerana mereka tidak tahu akan asal keturunannya.
Semasa tiba
di Restoran A&W, Julia tersentak dan terkaku apabila melihat kereta papa.
Julia mencari-cari papa dan hatinya terluka apabila terpandang pasangan yang
sama pernah ditemuinya sedang berada di bahagian hujung yang agak terpencil di
dalam A&W. Julia terus mengajak Rasylan supaya terus beredar dari situ.
Rasylan tidak membantah dan memujuk Julia agar memberikan kesempatan kepada
papa untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Bab18.
Minggu yang
berikutnya, Julia pulang ke rumah tanpa memberitahu papa dan Mak Cik Noraini
terlebih dahulu. Hasrat Julia untuk memeranjatkan Mak Cik Noraini supaya dia
melatah tidak kesampaian apabila terdengar perbualan papa dengan Mak Cik Noraini
tentang perkahwinan kedua papa. Mak Cik Noraini bersetuju dengan hasrat papa
itu. Bagaimanapun, papa risau akan keputusan dari Julia nanti.
Julia terus
menuju ke biliknya. Sambil menangis, dia berdoa supaya perkara itu tidak
terjadi. Selepas itu, Julia turun semula ke ruang tamu dan mendapati papa
sedang membaca majalah kesukaannya. Julia memulakan bicara tentang topik
poligami yang dibaca oleh papa pada masa itu. Julia sengaja bertanya papa
tentang Aisyah dan menyatakan dia pernah melihat papa keluar berdua-duaan
dengan Aisyah di beberapa tempat. Kenyataan Julia itu membuat papa menjadi
marah, dan papa menuduh Julia suka merayau daripada belajar. Malah papa juga
mempersoalkan tempat makan yang dikatakan oleh Julia.
Seterusnya
Julia meminta kepastian daripada papa tentang hasratnya untuk berkahwin lagi.
Bagi Julia, mama masih lagi hidup dan memerlukan perhatian papa. Baginya lagi,
tindakan papa untuk berkahwin lagi adalah satu tindakan khianat dan curang
kepada mama. Kata-kata dan pernyataan Julia kemudiannya dibalas dengan tamparan
oleh papa.
Julia terus
berlalu ke biliknya dengan juraian air mata tanpa sebarang pujukan.
Keesokannya, Julia terus kembali ke asramanya tanpa bersarapan dengan papa.
Ketika melangkah keluar, Julia sempat melihat wajah papa yang penuh kekesalan.
Bab 19.
Rasylan memujuk dan menasihati julia supaya menerima
kenyataan dan membenarkan papa berkahwin lagi. Pada pendapat Rasylan, papa
memerlukan seseorang yang boleh berkongsi segala-galanya dengannya. Walau
bagaimanapun, Julia masih tidak dapat menerima kenyataan ini menyebabkan
tumpuan terhadap pelajarannya terganggu. Dia tidak sanggup berkongsi kasih
sayang papa dengan perempuan lain.
Rasylan
memaklumkan bahawa keputusan ujian DNAnya adalah positif. Darahnya dengan darah
Encik Muaz al-Khalibi adalah dari kelompok yang sama. Hal ini bermakna dia
ialah anak kepada Encik Muaz al-Khalibi. Rasylan tidak dapat menerima kenyataan
tersebut. Rasylan berasa sedih dengan nasibnya yang dipelihara di rumah Jabatan
Kebajikan Masyarakat. Begitu juga dengan namanya yang berbinkan Abdullah dan
bukannya berbinkan Muaz al-Khalibi.
Julia tidak
pulang ke rumahnya selama dua minggu berturut-turut. Julia bertindak begitu
kerana hatinya masih terluka dan tersinggung oleh tindakan papa, dan bukannya
kerana dia tidak mengingati mama.
Hampir
setengah jam Julia menunggu Rasylan di Laman Budaya, akhirnya dia melihat
Rasylan bersama seorang lelaki, iaitu Encik Muaz al-Khalibi, yang sedang
membincangkan sesuatu. Tidal lama selepas itu, Rasylan menghampiri Julia dan
memaklumkan kedatangan papa ke kolej untuk berjumpa Julia. Menurutnya, papa
hendak membincangkan perkara mustahak dengan Julia. Setelah dinasihati oleh
Rasylan, Julia terus menemui papa.
Papa membawa
Julia ke Cofee House Hotel Paya Serai yang sering dikunjungi oleh Julia dan
Papa serta Mama sewaktu mama masih sihat. Papa meminta persetujuan Julia untuk
berkahwin dan menyatakan rasionalnya dia berbuat sedemikian. Pada mulanya Julia
menentang permintaan papa itu tetapi selepas papa memaklumkan kesihatannya,
dengan mudah sahaja Julia menyatakan persetujuannya. Keputusan yang dibuatnya
itu adalah semata-mata untuk kesejahteraan papa dan kebahagian mereka
sekeluarga.
Bab 20.
Rasyalan menceritakan asal usulnya kepada Julia. Ibu Rasylan
ialah warga Indonesia yang bekerja sebagai pengemas bilik Encik Muaz
al-Khalibi. Mereka mengadakan hubungan sulit kerana desakan hawa nafsu
sehinggalah ayahnya, Encik Muaz al- Khalibi tamat belajar dan meninggalkan ibunnya
yang mengandungkan Rasylan keseorangan. Setelah Rasylan dilahirkan, ibunya
telah meninggalkannya berhampiran dengan longkang yang menghala ke sebuah
masjid di bandar Klang. Ibu Rasylan kemudiannya pulang ke Indonesia dan tiada
siapa pun yang tahu tentang kehidupannya kini. Rasylan juga tidak berhasrat
untuk mencari ibunya itu. Bagi Rasylan, ayahnya ialah Datuk Mustakim yang telah
menjaga dan membesarkannya dan bukannya Encik Muaz al-Khalibi.
Papa
menelefon Julia untuk mengajaknya keluar minum dan ingin memperkenalkan bakal
isteri keduanya. Julia terpaksa menerima pelawaan papa itu dengan berat hati.
Papa memperkenalkan Aisyah sebagai bakal ibu tirinya. Papa membawa mereka minum
bersama di sebuah hotel. Papa meminta Julia pulang pada hujung minggu nanti
untuk menemaninya sewaktu majlis nikah pada malam tersebut.
Selepas
solat Maghrib, papa bersiap untuk melangsungkan pernikahannya. Julia yang
berada di sisi mama ketika itu tidak mempedulikan papa. Pada hakikatnya, dia
tidak rela papa berkahwin lain, tetapi demi kebahagian dan keselamatan papa,
Julia merelakannya jua. Julia seolah-olah terdengar bisikan keizinan mama dan
mengharapkan hidup mereka berdua tidak akan disia-siakan papa.
Papa
mengatakan yang dia akan membatalkan majlis pernikahan yang sudah diatur
sekiranya Julia tidak mengizinkan. Namun begitu, Julia meminta supaya papa
meneruskannya kerana upacara itu sudah lama dirancang dan dia akan menjaga mama
bersama Mak Cik Noraini.
Julia
mengiringi pemergian papa dengan senyuman dan air mata yang mengalir deras. Mak
Cik Noraini hanya tersenyum tetapi kelihatan secalit kekesalan di wajahnya.
Bab 21.
Sewaktu
Julia sedang duduk menunggu Rasylan, dia didatangi seorang pemuda yang bernama
Jeffri. Jeffri berwajah seiras papa tetapi usianya kelihatan lebih muda
daripada papa. Jeffri menasihati Julia supaya menerima keputusan papa untuk
berkahwin lagi dengan hati yang ikhlas dan reda demi kebahagiaan keluarganya.
Julia akhirnya reda dengan perkahwinan papa manakala Jeffri pula mengucapkan
terima kasih kepada Julia.
Julia
tersedar daripada mimpinya apabila seseorang mencium keningnya. Julia melihat
papa bersama dengan isteri barunya, Mak Cik Aisyah berada di sisi Julia. Papa
memberitahu bahawa Julia diserang demam panas lalu membawanya ke hospital untuk
mendapatkan rawatan. Julia memberitahu papa bahawa dia bermimpi berjumpa
denganseorang lelaki yang bernama Jeffri.
Doktor yang
datang merawat Julia menasihatinya supaya tidak terlalu mengikut kata hati,
sentiasa bertenang dan menerima segala takdir Allah denga hati yang reda. Papa
dan isteri barunya itu memandangnya sambil tersenyum. Julia kemudiannya
tertidur semula setelah disuntik oleh doktor.
Bab 22
Julia terlantar di hospital selama tiga hari dan selama itu
juga, dia tidak dapat menjaga mama. Doktor Razif yang merawatnya menjelaskan
bahawa Julia telah mengalami kejutan yang sama dahsyatnya denga trauma orang
yang mengalami kemalangan dan turut menumpang masalah orang lain. Doktor
menasihatinya supaya bertenang dan menerima segala-galanya dengan hati yang
terbuka.
Papa dan Mak
Cik Aisyah datang melawat dan menjemputnya pulang setelah dibenarkan oleh
doktor. Setibanya di rumah, mak Cik Noraini menyambutnya dengan celoteh yang
tidak berhenti-henti, membuat Julia berasa terhibur.
Sebaik
sahaja cuti pertengahan semester tamat, papa dan Mak Cik Aisyah menghantar
Julia ke kampus matrikulasi. Walaupun Mak Cik Aisyah menunjukkan sifat
penyayang dan cuba memahami emosi Julia, namu Julia masih belum dapat
menerimanya dengan sepenuh hati. Julia memaklumkan bahawa dia tidak balik dalam
dua atau tiga minggu kerana ingin menumpukan perhatian kepada pelajarannya bagi
menghadapi ujian semester pertama.
Julia dan
Rasylan menghadapi peperiksaan akhir bagi menentukan sama ada mereka akan
ditempatkan di kampus induk UIA di Gombak ataupun tidak. Julia berharap
hasratnya dan hasrat mama dan papa itu akan termakbul. Julia dan Rasylan juga
yakin bahawa mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan
tersebut.
Julia pulang
ke rumah untuk bercuti selama enam minggu sesudah peperiksaan akhir berakhir.
Semasa duduk berbual-bual dengan papa dan Mak Cik Aisyah di ruang tamu, Julia
sengaja bertanya papa tentang rancangan
bulan madu papa dengan Mak Cik Aisyah tetapi papa tidak dapat menjawabnya.
Namun, Julia tahu papa sedang berbahagia dengan isteri barunya itu. Hati Julia
berasa terguris apabila melihat kemesraan papa dengan Mak Cik Aisyah.
Julia
terdengar papa memarahi Mak Cik Aisyah kerana memasuki bilik mama berseorangan.
Papa tidak menyukai perbuatan Mak Cik Aisyah itu kerana ditakuti akan berlaku
sebarang musibah yang tidak diingini. Papa hanya membenarkan Mak Cik Aisyah
melawat mama sekiranya bertemankannya atau Julia. Mak Cik Aisyah berasa kecewa
apabila papa mencurigainya. Mak Cik Aisyah menyatakan dengan ikhlas bahawa dia
akan menjaga papa, Julia serta mama dengan baik.
Bab 23.
Julia nekad untuk melipatgandakan usahanya dalam
pembelajaran pada semester ketiga dan tidak mahu lagi memikirkan perkara yang
remeh-temeh. Dalam pada itu, Julia melihat perubahan pada diri Rasylan yang
semakin kacak dan sering menjadi tumpuan pelajar perempuan tidak kira sama ada
pelajar junior atau senior. Rasylan juga menyatakan perasaan cemburunya apabila
dia melihat Julia ditegur oleh pelajar senior. Namun begitu, bagi Julia itu
tidak penting. Yang penting adalah keinginanya untuk menimba ilmu.
Semasa cuti
pertengahan tahun semester bermula, Rasylan dan Julia pulang bersama-sama
menaiki bas awam. Dalam perjalanan, mereka bercakap tentang tawaran Encik Muaz
al-Khalibi kepada Rasylan. Rasylan menyatakan bahawa dia tidak akan memberitahu
Datuk Mustakim tentang tawaran tersebut dan dia sendiri tidak akan menerimanya.
Baginya, tawaran itu sudah tidak beerti lagi. Rasylan tidak dapat menerima
Encik Muaz al-Khalibi yang mengabaikan tanggungjawabnya dahulu, sebaliknya amat
berhutang budi kepada Datuk Mustakim yang telah mengambilnya sebagai anak
angkat.
Julia pula
berjanji dan menyakinkan Rasylan bahawa dia tetap akan bersama Rasylan walaupun
apa sekalipun keputusan Rasylan. Bagi Rasylan pula, janji yang dilafazkan oleh
Julia itu agak terlalu awal kerana mereka tidak tahu apa takdir mereka pada
masa hadapan. Namun begitu, Julia tetap dengan pendiriannya walaupun Rasylan
yang akan berubah kelak.
Bab 24.
Setibanya di
rumah, Julia mendapati papa tiada di rumah. Mak Cik Noraini menyatakan bahawa
papa dan Mak Cik Aisyah di Kelana Jaya. Julia yang sudah mengetahui Mak Cik
Aisyah yang kini mengandung, turut berasa gembira kerana dia sudah dapat
menerima Mak Cik Aisyah dan akan melahirkan adik kepadanya sebagai penganti
kepada Ahmad dan Muhammad.
Mak Cik
Aisyah menegur Julia apabila melihat wajah Julia yang berserabut dan tidak
ceria. Dia bertanya kepada Julia jika Julia mempunyai masalah dan mahu
berkongsi masalah dengan Julia. Julia menceritakan masalahnya kepada Mak Cik
Aisyah. Mak Cik Aisyah menasihati Julia supaya pandai menjaga perasaan dan tahu
membezakan antara yang baik dengan yang kurang baik dan apa yang tidak baik
langsung. Dia juga menasihati Julia supaya berkompromi dalam hubungannya
Perbualan
Julia dengan Mak Cik Aisyah terhenti apabila papa memaklumkan Rasylan menelefon
Julia. Pada mulanya, Julia enggan menjawab panggilan Rasylan itu tetapi papa
menegurnya supaya menjawabnya dan menyelesaikan masalah Julia dan Rasylan.
Akhirnya, Julia akur.
Rasylan
mengajak Julia berjumpa untuk membincangkan hal mereka. Julia menolak dengan
alasan dia ingin menjaga mama pada waktu cuti itu. Julia meminta Rasylan
bersabar kerana mereka boleh berjumpa setiap hari apabila semester baru bermula
nanti. Akhirnya, Rasylan mengalah dan menerima permintaan Julia asalkan Julia
tidak meningalkannya bersendirian untuk menghadapi dugaan hidup.
Papa yang
mendengar segala perbualan Julia dengan Rasylan di telefon menyatakan yang dia
akan menolong Julia menolong Julia menukar universiti sekiranya Julia mahu.
Julia menolak saranan itu dengan baik, kerana baginya, dia akan tetap
menghadapi masalah yang mendatanginya.selepas selesai Solat Maghrib berjemaah,
Julia dan papa masuk ke bilik mama. Mereka terkejut apabila mama membuka mata
dan mulutnya. Mama mula menggerakkan jari-jemarinya dan menggoyangkan kakinya.
Mak Cik Aisyah masuk ke bilik apabila terdengar papa bercakap. Papa
memperkenalkan Mak Cik Aisyah kepada mama. Mama amat terkejut apabila mendengar
segala keterangan papa. Keadaan mama menjadi tidak stabil dan mama akhirnya
menghembuskan nafasnya yang terakhir. Papa menyembamkan mukanya ke rusuk mama.
Julia, Mak Cik Noraini dan Mak Cik Aisyah menangis dengan keadaan tersebut.
Papa mengangkat mukanya apabila dikejutkan oleh Julia dan perlahan-lahan
membetulkan tangan mama. Papa tewas juga akhirnya, apabila Julia melihat
kelopak mata papa berair dan jatuh ke pipinya buat kali pertamanya.
Unsur Binaan Ayat
Terdapat dua unsur dalam binaan ayat tunggal iaitu :
1. Subjek
2. Predikat
Subjek ialah konstituen dalam sesuatu ayat yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang berfungsi sebagai frasa nama dan menjadi unsur yang diterangkan.
Predikat ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek.
1. Subjek
2. Predikat
Subjek ialah konstituen dalam sesuatu ayat yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang berfungsi sebagai frasa nama dan menjadi unsur yang diterangkan.
1. Puan Zalina seorang penulis novel.
Subjek : Puan Zalina
Predikat : seorang penulis novel
2. Petani itu membajak sawahnya setiap hari.
Subjek : Petani itu
Predikat : membajak sawahnya setiap hari
3. Rumah kediaman yang baharu dibeli oleh Habib terletak di atas bukit.
Subjek : Rumah kediaman yang baharu dibeli oleh Habib
Predikat : terletak di atas bukit
NOTA :
Pembahagian
atau pemenggalan kepada frasa subjek dan predikat bagi sesuatu ayat
tidak boleh dilakukan tanpa peraturan. Dalam ayat (2) di atas, unsur itu membajak, misalnya tidak boleh digabungkan untuk menjadi binaan sebab bentuk itu dan membajak termasuk ke dalam kelompok unsur berasingan. Oleh itu, ayat (2) tidak mungkin boleh dipenggal dengan memisahkan petani sahaja sebagai frasa subjek, dan itu membajak sawahnya setiap hari sebagai frasa predikat.
Latihan
Kenal pasti dan tulis subjek dan predikat bagi setiap ayat seperti yang berikut.
1. Habib pergi ke Pulau Pangkor kelmarin.
2. Rajin sungguh budak itu membersihkan kawasan rumahnya.
3. Dengan cermatnya, dia memandu kereta baharu itu.
4. Gadis yang berbaju jingga itu adik bongsu Hafizam.
5. Cikgu Wani mengajarkan Bahasa Melayu kepada murid Tingkatan 5D.
2. Rajin sungguh budak itu membersihkan kawasan rumahnya.
3. Dengan cermatnya, dia memandu kereta baharu itu.
4. Gadis yang berbaju jingga itu adik bongsu Hafizam.
5. Cikgu Wani mengajarkan Bahasa Melayu kepada murid Tingkatan 5D.
POLA BINAAN AYAT BAHASA MELAYU
Terdapat empat pola binaan ayat dalam Bahasa Melayu iaitu :
1. Frasa Nama + Frasa Nama ( FN+FN )
2. Frasa Nama + Frasa Kerja ( FN+FK )
3. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN+FA )
4. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN+ FSN )
Contoh :
1. Puan Fatimah seorang penulis novel
FN + FN
2. Pak Abu sedang menanam pokok
FN + FK
3. Suara Datuk Siti Nurhaliza sangat merdu
FN + FA
4. Rumah itu terletak di atas bukit
FN + FSN
1. Frasa Nama + Frasa Nama ( FN+FN )
2. Frasa Nama + Frasa Kerja ( FN+FK )
3. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN+FA )
4. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN+ FSN )
Contoh :
1. Puan Fatimah seorang penulis novel
FN + FN
2. Pak Abu sedang menanam pokok
FN + FK
3. Suara Datuk Siti Nurhaliza sangat merdu
FN + FA
4. Rumah itu terletak di atas bukit
FN + FSN
Subscribe to:
Posts (Atom)