Monday, 18 March 2013

PERTANDINGAN BAHAS BAHASA MELAYU ALA PARLIMEN DAERAH SEREMBAN 1 2013























SMK Bukit Kepayang telah terpilih untuk menjadi Pengerusi Pengelola Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen 2013. Pertandingan tersebut telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 & 27 Februari 2013. Sebanyak 18 buah sekolah di daerah Seremban 1 telah mengambil bahagian. Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Encik Muhammad bin Mohd Nor ( Pen. PPD Kemanusian ) mewakili Tuan PPD Seremban.

Keputusan :

Tempat Pertama           : SMK Agama Sheikh Hj. Mohd Said ( SHAMS )

Tempat Kedua             : SMK Dato’ Mohd  Said Nilai

Tempat Ketiga             : SMK Kompleks KLIA

                                    : SMK Tunku Ampuan Najihah

Pembahas Terbaik       : Muhammad Al- Iqbal b. Kamarulzaman ( SHAMS )

 Terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pertandingan ini.


Sinopsis Cerpen Pungut Alias Zahara Alias Yap Siew Hong

Perjalanan kehidupan Mak Timah dalam membesarkan anak angkatnya yang cacat selama 24 tahun. Kisah bermula dengan imbas kembali peristiwa Mak Timah yang mengambil anak angkatnya yang digelar Pungut (diberi nama Zahara, nama asal Yap Siew Hong) yang diambil daripada keluarga Bibik yang berketurunan Cina peranakan. Pada peringkat awal Mak Timah berharap saiz Pungut akan berubah apabila dia besar dan boleh membantunya apabila dewasa nanti tetapi sebaliknya pula berlaku apabila Pungut perlu dijaga setiap masa oleh Mak Timah kerana Pungut menjadi bisu, pekak dan tidak boleh mengurus dirinya sendiri. Mak Timah terpaksa menguruskan segalanya. Ada kalanya Mak Timah merungut kerana Pungut dipanjangkan umur tetapi tetap menyayangi dan akan menjaga Pungut walaupun anak lelakinya ada mencadangkan supaya Pungut dihantar ke rumah orang cacat. Mak Timah berdoa agar Tuhan mengambil nyawa Pungut terlebih dahulu sebelum dia meninggal dunia.

Sinopsis Cerpen Penanggungan

Cerpen ini mengisahkan Kapten Mamat yang menghadapi konflik dalam dirinya setelah didatangi oleh janda kelasinya Baharom. Masnah, janda arwah Baharom ialah saudara jauh sebelah bapanya. Masnah datang menuntut haknya sebagai seorang janda. Suaminya Baharom meninggal selepas jatuh dari tiang geladak kapal yang dikemudi oleh Kapten Mamat. Kapten Mamat sangat bersimpati dengan Masnah namun apa dayanya. Isteri Kapten Mamat cuba mententeramkan Masnah namun gagal. Masnah meluahkan kekecewaannya kerana nasibnya tidak terbela selepas kematian suaminya, Baharom. Kapten Mamat berjanji untuk membela nasib Masnah. Keadaan menjadi kelam kabut apabila, Masnah tiba-tiba pengsan. Isteri Kapten Mamat menyuruhn ya memanggil bomoh. Namun Kapten Mamat tidak percayakan khidmat bomoh lalu dia menggosokkan tapak kaki Masnah. Kemudian dia menyuruh isterinya memercikkan air ke muka Masnah. Akhirnya Masnah sedar dari pengsan. Kapten Mamat menyuruh Masnah balik ke kampong untuk menenangkan jiwanya. Dia juga menyuruh Masnah berjumpa doktor untuk mengetahui penyakit yang dialaminya. Masnah akhirnya akur dengan nasihat Kapten Mamat. Sehebat mana penanggungan masalah yang dihadapinya, Masnah akur dengan ketentuan Tuhan bahawa setiap yang hidup akan mati.

Cerpen Pahlawan Buntung


Khalid telah bertemu kembali dengan Pak Husain yang berkaki kudung. Pertemuan itu menyebabkan Khalit mengingat kembali kepada kisah lampau yang berlaku ketika tentera Jepun mendarat di Pengkalan Chepa. Khalid memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia setahun yang lalu. Khalid terkenang peristiwa 34 tahun dahulu, sebelum dia bersama keluarganya telah berpindah ke kota.
Ketika tentera Jepun mendarat di Kelantan, Pak Husain berusia 30 tahun dan Khalid berusia 14 tahun. Mereka tinggal di Kampung Pulau Pak Amat. Tentera Jepun mendarat dan membunuh askar-askar Punjabi. Pak Husain telah mengarahkan keluarga Khalid dan penduduk kampung berpindah. Mereka mengekori langkah Pak Husain dari belakang sehinggalah mereka ditinggalkan di selekoh batas. Suasana ketika itu sangat mencemaskan kerana bedilan senapang dan letupan bom berlaku di mana-mana. Ketika mereka mahu menaiki perahu, sebuah ledakan jatuh di depan mereka. Rumah Mak Esah terbakar. Mak Esah dan anaknya telah menjadi korban tentera Jepun. Perahu bergerak pantas sebelum diserang oleh tentera Jepun. Dalam keadaan kelam-kabut itu mereka mendapati Pak Husain tiada bersama-sama mereka.
Penduduk kampung berkumpul di Kampung Dal. Khalid dan rakan-rakannya menyeberangi sungai Pangkalan Cepa. Mereka mendapati Pangkalan Cepa sudah terbakar. Mereka kemudiannya pulang semula ke Kampung Dal. Ketika itu Pak Husain ada bersama-sama. Pak Husain menceritakan punca kehilangannya. Dia telah ditahan oleh tentera Jepun dan menyuruhnya menggali kubur besar untuk menanam mayat mangsa perang yang terbunuh.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, rompakan sering berlaku. Pak Husain telah menembak perompak tersebut yang masih di dalam perahu dengan menggunakan senapang yang diambil daripada mayat askar Punjabi. Pada satu pagi, Pak Husain terkena letupan bom peninggalan perang. Beliau tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Kota Bharu. Kaki Pak Husain dipotong.
Kisah silam terputus dan kini Khalid berhadapan dengan Pak Husain. Khalid menjemput Pak Husain ke rumahnya di Jalan Bayam, tetapi Pak Husain menolak kerana dia mahu ke Padang Bemban, rumah cucunya.

Sinopsis Novel Papa (... akhirnya kau tewas jua )

Bab 1
Selepas berehat di dalam biliknya, Julia turun ke dapur di tingkat bawah rumahnya. Dia mendapati pembantu rumahnya, Mak Cik Noraini, sedang sibuk membancuh kopi dan mengoreng karipap bagi hidangan minum petang mereka. Mak Cik Noraini yang memahami gelagat Julia yang asyik memerhatikan karipap yang digorengnya itu, terus menyuruh Julia memakan sebiji karipap dan meninggalkan selebihnya kepada papa dan mama Julia.
          Mak Cik Noraini terus menghidangkan secawan kopi O kepada Julia sambil memerhatikan sesuatu di luar tingkap. Julia turut mengikuti perlakuan MakCik Noraini itu. Di luar rumah, kelihatan papa dan mama sedang bercakap-cakap di kebun sayur papa. Mereka berdua memerhatikan  kemesraan yang ditunjukkan oleh papa dan mama.
          Mereka memberikan tumpuan kepada percakapan antara papa dan mama tantang sayur kacang panjang yang ditanam oleh papa serta masakan yang perlu disediakan oleh mama untuk makan malam bagi mereka berempat. Papa mengharapkan mama yang akan memasaknya sendiri dan bukannya Mak Cik Noraini, kerana bagi papa, masakan mama amat sedap serta sentiasa memenuhi seleranya.
          Perbualan papa dan mama kemudiannya berkisar  tentang tanaman jagung yang ditanam oleh papanya. Papa yang mengharapkan mama yang akan memasaknya, terus membuat mama merajuk buat seketika sebelum mereka berdua beriringan masuk ke dalam rumah dengan penuh mesra untuk menikmati hidagan petang.
          Bagi Julia dia amat mengagumi kasih sayang yang ditunjukkan oleh papa dan mama, tetapi kadang kala dia berasa bosan melihatkan telatah mereka berdua. Dia berpendapat bahawa papa dan mama tidak patut berkelakuan seperti itu memandangkan dia kini sudah meningkat remaja. Mak Cik Noraini yang banyak menyimpan rahsia papa dan mama hanya tersenyum mendengar rungutan Julia itu.
Bab 2.
Julia terpaksa pulang dari sekolah bersendirian. Mama, Cikgu Intan Maliana yang sakit telah di jemput oleh papa, Encik Jefri atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jefri. Pada petang itu, hanya Julia dan Mak Cik Noraini, pembantu rumah yang tekun dan taat yang berada di rumah. Mak Cik Noraini sudah lama berkhimat di rumah Julia. Papa yang kini bertugas sebagai Pensyarah Ekonomi di Kolej Iktisas serta mama mengasihinya seperti saudara sendiri.
          Dalam usianya yang menjangkau 16 tahun dan masih menuntut dalam tingkatan 4, Julia berasa kagum akan keunggulan dan kesetiaan papa yang sangat mencintai mama. Hal ini membuat Julia juga ingin bertemu jodoh dengan lelaki sebaik papa kelak. Malah dia merasakan hubungan papa dan mama amat bahagia. Julia kemudiannya terkenangkan peristiwa jari mama berdarah kerana terhiris pisau. Papa yang begitu mengambil berat akan keadaan mama pada masa itu ternyata menyerlahkan lagi kasih sayang papa terhadap papa.
          Semasa Mak Cik Noraini menghidangkan bubur jagung yang turut menjadi kegemaran papa dan mama kepada Julia, dia menceritakan kisah percintaan papa sehinggalah kepada nostalgia pertemuan antara papa dan mama yang menarik tumpuan Julia.
          Julia terus mendapatkan papa dan mama apabila menyedari mereka sudah pulang. Julia lalu menanyakan kesihatan mama. Papa dan mama hanya tersenyum tanpa memberikan jawapannya. Setelah ditanya lagi oleh Julia, papa dengan perasaan gembira memaklumkan bahawa mama sedang mengandung. Julia amat gembira apabila mengetahui hal tersebut. Mak Cik Noraini turut gembira tetapi turut mengingatkan papa dan mama tentang masalah yang pernah menimpa mama sewaktu melahirkan Julia. Papa akur akan kata-kata Mak Cik Noraini dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah.
Bab 3.
Julia pulang dari sekolah ketika lewat petang. Sebaik sahaja sampai di rumah, Julia terdengar perbualan antara mama dengan Mak Cik Noraini. Mak Cik Noraini menasihati mama supaya membuat keputusan yang tepat berkenaan kandungannya agar tidak menjejaskan kesihatannya seperti yang telah berlaku semasa melahirkan Julia. Menurut kata Mak Cik Noraini lagi, mama telah kehilangan banyak darah dan menyebabkan kesihatannya terganggu. Mama juga tidak sedarkan diri selama beberapa bulan.
          Walaupun mama mendengar nasihat Mak Cik Noraini, namun mama tetap berkeras untuk meneruskan kandungan kerana papa sangat menginginkan anak. Atas ketelusan serta kasih sayangnya terhadap papa, mama sanggup berkorban demi papa. Julia amat tersentuh apabila mendengar kata-kata mama itu.
          Sebaik sahaja papa pulang dari tempat kerja, Julia mengajak papa bermain tennis di Kelana Jaya. Pada mulanya, papa menolak ajakan Julia itu, tetapi bersetuju semula setelah Julia menyatakan dia akan mengajak mama bermain dengannya.
          Sewaktu bermain tennis, Julia teringat akan perbualannya dengan mama tentang papa. Papa sentiasa diminati oleh gadis lain tanpa menghiraukan mama yang berada di sisi papa. Mama tidak menyukai kebebasan gadis tersebut lantas menasihati Julia tidak berkelakuan sedemikian.
          Kehilangan tumpuan ketika bermain menyebabkan Julia terkena bola tenis yang dipukul oleh papa. Semasa papa sedang mengosok dan menuam kesan lebam di mukanya, seotang gadis yang bernama Aisyah, pelajar kolej di tempat papa mengajar, menyapa mereka. Kemudian, papa terus mengajak Aisyah minum bersama-sama mereka. Bagaimanapun, Julia tidak begitu selesa dengan kehadiran Aisyah. Papa pula memberitahu bahawa Aisyah ialah pelajarnya di kampus dan mereka sering berbincang tentang pelajaran.
Bab 4.
Mama merungut apabila Julia terlewat ke tempat letak kereta. Mama terpaksa cepat kerana dia ingin menghantar Cikgu Suzie ke bengkel kereta di seksyen 14. Julia memohon maaf atas kelewatan kerana beberapa rakan sekelasnya meminjam buku nota Geografi miliknya. Mama yang juga guru di sekolah yang sama tidak menyukai perbuatan mereka.
Dalam perjalanan ke Seksyen 14, Cikgu Suzie menasihati mama agar berfikir semasak-masaknya untuk meneruskan kandungan yang dikandungnya itu. Cikgu Suzie bimbang akan kesihatan mama yang pernah mengalami komplikasi yang agak teruk sewaktu melahirkan Julia. Walau bagaimanapun, mama tetap dengan keputusannya untuk meneruskan kandungannya. Dia beranggapan segala perbuatan adalah pengorbanan dan kasih sayang seorang isteri tercinta terhadap suami tercinta.
          Sebelum Cikgu Suzie keluar dari kereta, mama berterima kasih atas peringatan dan nasihat yang diberikan kepadanya. Bagi mama, hanya wanita berkahwin yang akan dapat merasai nilai kasih sayang seorang isteri terhadap suami.
Bab5.
Mama bakal melahirkan anak kembar dalam masa empat bulan lagi. Wajah papa semakin berseri-seri menantikan anak kembar yang bakal dilahirkan. Kini, papa banyak meluangkan masa bersama-sama mama. Papa juga sanggup menghantar serta mengambil mama dan Julia dari sekolah kerana tidak mahu mama memandu sendirian bersama Julia. Papa lebuh gembira apabila melihat perkembangan diri mama yang menunggu masa empat bulan lagi untuk bersalin.
          Mama agak bimbang untuk bersalin kali kedua kerana pernah mengalami komplikasi ketika melahirkan Julia dahulu. Papa cuba meyakinkan mama dan menanyakan persediaan terhadap segala kemungkinan yang bakal berlaku. Bagi papa, segala apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.
          Julia cuba mendapatkan maklumat yang jelas daripada MakCik Noraini tentang masalah yang dialami ole mama ketika melahirkannya. Menurut Mak Cik Noraini, badan Julia sangat kecil dan kelahirannya juga tidak cukup bulan. Mak Cik Noraini menjelaskan segala dugaan terhadap keluarga Julia sehingga menitiskan air mata.
Bab 6.
Aisyah seorang pelajar yang sungguh meminati pengajaran papa dan sering menemui papa untuk bertanya tentang pelajarannya. Dia sering menumpang kereta papa hingga ke rumahnya di seksyen 7, Kelana Jaya. Dia juga sering mengajak papa minum di warung yang berhampiran dengan kolej. Walau bagaimanapun, papa menolaknya kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan anara mama, dia dan Julia.
          Menurut papa, Aisyah ialah pelajar tahun akhir dan merupakan anak kepada hartawan ternama, yang tidak perlu gusar akan pencapaian akademiknya kerana harta yang dimiliki oleh ayahnya sudah dapat menjamin kemewahan dan keselesaan hidupnya.
          Julia cuba menguji kesetiaan papa terhadap mama dengan cara mengusik dan memberikan kebenaran sekiranya papa berminat untuk menjadikan Aisyah sebagai kekasih dan seterusnya isteri keduanya. Papa menolaknya dan menyatakan dia tidak berniat untuk menjalinkan hubungan dengan Aisyah. Papa sudah berpuas hati dengan keadaan keluarganya ketika itu. Papa juga menyatakan bahawa dia tidak sanggup menduakan kasih sayangnya terhadap mama.
Bab 7
          Tahun baru datang kembali. Julia sudah memasuki tingkatan lima. Kandungan mama juga semakin membesar kerana mengandungkan anak kembar lelaki. Papalah yang paling gembira mendengar berita tersebut. Papa begitu sibuk menyediakan pelbagai kelengkapan untuk anak kembarnya itu. Namun, tindakan papa sering ditegur oleh Mak Cik Noraini kerana baginya tidak elok membeli barangan bayi pada peringkat awal kehamilan. Mak Cik Noraini bimbang sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku tetapi papa berkeras dengan segala tindakannya, kerana baginya, segala-galanya sudah ditentukan oleh Tuhan.
          Julia sibuk mengulang kaji pelajarannya untuk menghadapi peperiksaan SPM walaupun peperiksaan yang bakal didudukinya itu masih lambat lagi. Julia sentiasa mendengar nasihat papa supaya bersedia lebih awal supaya kekesalan tidak berlaku.
          Pada suatu hari, jam empat pagi, Julia dan Mak Cik Noraini dikejutkan oleh papa kerana mama sudah menunjukkan tanda sakit untuk bersalin. Julia membantu papa memapah mama yang menhan kesakitannya menuruni anak tangga hingga ke kereta. Mak Cik Noraini pula membawa bekalan mama untuk dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Dalam serba kekalutan itu, mama berjaya dihantar ke hospital dengan selamat.
          Semasa dibawa masuk ke bilik pembedahan, mama sempat meminta maaf daripada papa dan meminta keredaan papa atas segala kemungkinan yang akan berlaku.
Bab 8.
Papa, Julia dan Mak Cik Noraini sudah lama menunggu di luar bilik pembedahan dengan penuh keresahan. Mereka sudah tidak sabar menunggu berita tentang mama daripada doktor yang merawatnya. Tidak lama kemudian, seorang doktor keluar dari bilik pembedahan dan meminta kebenaran papa untuk melakukan pembedahan ke atas mama kerana terdapat komplikasi terhadap kandungannya. Papa menandatangani surat kebenran tersebut. Semasa pembedahan dijalankan, papa berdoa kepada Allah supaya mama dan anak kembarnya itu selamat. Mereka semua menunggu pembendahan itu selesai dalam suasana dingin dan mendebarkan.
          Selepas 3 jam, doktor yang bertanggungjawab melakukan pembedahan itu keluar mendapatkan papa. Wajah papa dan Mak Cik Noraini kelihatan pucat menantikan berita yang akan disampaikan oleh doktor itu. Doktor menyatakan mama berjaya melahirkan anak kembar siam tetapi malangnya kedu-duanya telah meninggal dunia sejak di dalam kandungan lagi. Menurutnya lagi, anak kembar yang dikandung mama ialah anak kembar siam, yang bahagian belakangnya melekat dari kepala hingga ke bahagian punggung. Julia dan papa berasa sangat sedih atas kehilangan tersebut.
          Menurut doktor lagi, mama telah kehilangan banyak darah dan masih dalam keadaan koma. Julia menangis teresak-esak apabila mengenangkan kesedihan yang berlaku, begitu juga Mak Cik Noraini yang turut mengesatkan air matanya. Julia berasa kagum akan ketabahan papa dan kesabaran papa dalam menghadapi ujian Tuhan itu.
          Papa, Julia dan Mak Cik Noraini menjenguk mama yang ditempatkan di bilik ICU dengan ditemani wayar-wayar halus yang berselirat di mulut, hidung serta lengannya. Selepas segala urusan selesai, mereka semua pulang ke rumah untuk menguruskan jenazah kedua-dua bayi kembar itu untuk disemadikan. Papa menamakan mereka Ahmad dan Muhammad.
          Papa memaklumkan perkara tersebut kepada pihak universiti dan sekolah. Kebanyakan kenalan, saudara dan rakan sekerja papa dan mama yang telah mengetahui insiden tersebut datang menziarahi mereka. Aisyah juga datang menziarahi mereka dan sempat menasihati papa supaya tabah menghadapi cabaran tersebut.
Bab 9.
          Papa menghantar Julia ke sekolah setiap hari sementara menunggu mama pulih daraipada koma. Papa meminta Julia menunggunya selepas tamat waktu persekolahan dan melarang Julia menaiki bas pulang ke rumah. Julia berasa kurang senang dengan permintaan papa itu kerana papa sering lambat mengambilnya. Namun begitu, sebagai ayah, papa berjaya memujuk Julia.
          Julia disapa oleh Rasylan, pelajar baru yang ditukarkan ke sekolah itu dan sekelas denga Julia. Rasylan melihat kemesraan papa dan Julia. Rasylan juga meminta kebenran Julia untuk mengenali mama dan papa dengan lebih dekat. Perasaan Julia tersentuh apabila Rasylan menyebut nama ’mama’. Mata Julia menjadi merah kerana menangis sehingga dapat dikesan oleh Rasylan. Tanpa mengetahui hal sebenar, Rasylan telah memohon maaf daripada Julia jika dia telah menyinggung perasaan Julia.
          Apabila kelas bermula, kawan baik mama dan sangat mengambil berat akan diri mama , iaitu Cikgu Suziyah atau lebih dikenali Cikgu Suzie, yang mengajarkan subjek Matematik menemui Julia. Dia menyatakan hasratnya untuk mengajak Julia menemaninya menziarah mama di hospital. Pelawaan itu ditolak baik oleh Julia kerana dia akan ke hospital dengan papa selepas tamay waktu persekolahan. Julia mencadangkan Cikgu Suzie mengikuti kereta papa dari belakang nanti.
          Selepas waktu rehat, Rasylan menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan Julia selepas tamat sesi persekolahan, tetapi Julia menolak permintaan tersebut dengan alasan ingin menziarah mama di hospital bersama dengan papa dan Cikgu Suzie.
Bab 10.
Apabila sampai di hospital, papa, julia dan Cikgu Suzie terus menuju ke wad ICU. Sebelum memasuki bilik ICU, mereka dikehendaki memakai pakaian yang dikhaskan oleh pihak hospital. Mereka juga terpaksa memakai kasut khas sebelum masuk ke dalam bilik ICU itu. Papa memaklumkan kedatangan kami kepada mama dengan ungkapan yang menyentuh perasaan. Julia perasan bahawa mata papa merah selepas menyatakan bahawa mereka amat merindui mama.
          Pada hari papa tiada di rumah kerana masih belum pulang dari tempat kerjanya. Julia mengambil peluang mengulang kaji pelajarannya di dalam bilik bacaan yang sering digunakan oleh papa. Sedang dia tekun menelaah, Julia terpandang gambar pada usia perkahwinan papa dan mama kira-kira 17 tahun yang lalu. Kemudian, Julia membaca surat yang pernah diutuskan oleh papa dan mama yang tiada tolok bandingannya itu.
          Julia duduk mengenangkan Mak Cik Noraini yang sudah dianggapnya sebagai ibu keduanya kerana dialah yang menjaganya sejak Julia dilahirkan. Mak Cik Noraini merupakan sepupu papa. Sejak kematian suami dan anak-anaknya dalam kemalangan jalan raya kira-kira 17 tahun lalu, papa mengajaknya tinggal bersama-sama papa dan mama supaya dia dapat melupakan semua kesedihan sedih itu.
          Julia juga teringatkan Murni, rakan sekelas yang agak mencemburuinya. Malah Murni juga cuba mempengaruhi rakan-rakan yang lain supaya turut memusuhinya. Tindakan Murni itu menyebabkan Julia berasa sedih. Rasylan cuba memujuk dan menasihati Julia supaya bersabar kerana baginya masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi nanti.
          Tidak lama selepas itu, papa pulang selepas melawat mama di hospital. Julia berasa marah dan merajuk dengan tindakan papa yang pergi ke hospital tanpa mengajaknya. Walau bagaimanapun, rajuknya hilang apabila papa menjelaskan keadaan yang sebenar. Mak Cik Noraini kemudiannya mengajak papa dan Julia makan hidangan yang sudah disediakan. Sewaktu mereka berdua sedang menikmati hidangan, papa menerima panggilan daripada pelajarnya, Aisyah.
Bab 11
          Keadaan mama masih belum berubah.
Sewaktu Julia baru pulang daripada menduduki kertas Matematik peperiksaan SPM, dia terdengar perbualan antara papa dan Mak Cik Noraini di meja makan. Dalam perbualan tersebut, Mak Cik Noraini mencadangkan papa berkahwin lagi supaya kehidupan papa kembali ceria seperti dahulu. Walau bagaimanapun, papa menolak cadangan Mak Cik Noraini itu dan kata papa, dia juga perlu menjaga hati Julia.
          Julia bertekad tidak mahu lagi mendengar perbualan tersebut kerana akan mengguris hatinya. Papa yang menyedari kepulangan Julia terus bertanyakan perihal peperiksaan Julia pada hari itu. Papa mengharapkan Julia mendapat pencapaian yang terbaik.
          Seterusnya Julia meminta izin dan mengharapkan kebenaran papa untuk ke rumah Rasylan selepas selesai kertas Geografi pada keesokan harinya. Namun demikian, papa menasihati Julia supaya menjaga maruah sebagai seorang perempuan dan mencadangkan Julia mengajak rasylan ke rumah mereka dahulu untuk mengenalinya sebelum Julia pergi ke rumah Rasylan. Kata-kata papa itu telah memberika harapan tinggi terhadap perhubungganya dengan Rasylan.
Bab 12
          Ketika menunggu papa untuk makan malam bersama, Julia menerima panggilan telefon daripada Aisyah, pelajar papa. Aisyah meminta kebenaran papa untuk mengajak Julia bermain tenis bersama-sama pada keesokan harinya dan papa membenarkannya.
          Keesokan harinya, sekembalinya daripada menghadapi kertas terakhir peperiksaan SPM, Julia menerima kejutan apabila tiba di rumah. Julia berasa sangat gembira menerima kepulangan mama walaupun keadaan mama masih seperti biasa, koma. Tanpa pengetahuan Julia dan Mak Cik Noraini, papa sudah membeli katil dan segala peralatan untuk mama di rumah.
          Pada petangnya, Aisyah tiba di rumah Julia untuk mengajaknya bermain tenis seperti yang telah dijanjikan. Julia cuba menolak tetapi papa terlebih dahulu menggesanya supaya mengikut Aisyah. Julia memaklumkan berita kepulangan mama kepada Aisyah dan menyatakan bahawa dia akan menjaga mama sehingga sembuh. Hasratnya itu dipertikaikan oleh Aisyah atas alasan, Julia perlu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Aisyah menasihati Julia supaya memberikan lebih tumpuan terhadap pelajaran kerana itulah tanggungjawab Julia yang utama.
          Selepas bermain tenis, Aisyah membawa Julia ke balik ke rumahnya dan memperkenalkan Julia kepada ayah dan umminya yang kebetulan ada di rumah. Bapa Aisyah, Datuk Mahazar Sheikh Mohammad, ialah seorang tokoh korporat dalam bidang pengiklanan.
          Menjelang malam, barulah Aisyah menghantar Julia pulang ke rumah, menyebabkan papa menjadi kurang senang dan marah.
Bab13.
Kini sudah lapan bulan mama terlantar koma di atas katil. Keputusan SPM juga akan diumumkan beberapa minggu sahaja lagi. Julia berasa resah dan gelisah menantikan keputusan tersebut. Selama itu juga papa tetap mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mama. Julia sendiri tidak pernah mempertikaikan pengorbanan dan keprihatinan papa terhadapnya dan mama. Papa sering bercakap-cakap dengan mama walaupun tiada balasan dari mama. Papa turut menyatakan harapannya supaya Julia mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan berjaya menyambung pelajaran di universiti sehingga memperoleh segulung ijazah seperti yang diperoleh oleh papa terdahulu.
          Rasylan pula menyahut cabaran untuk berjumpa papa. Rasylan banyak bertanya tentang perihal mama yang ada kalanya menguris perasaan papa. Papa kemudiannya menceritakan kisah ibu bapanya setelah mengetahui latar belakang ibu bapa angkat Rasylan. Menurut papa, dia sudah mengenali ayah angkat Rasylan, Datuk Mustakim, sejak Julia berumur empat tahun  lagi. Pada masa itu, Datuk Mustakim telah melanggar kedua-dua ibu bapa papa sewaktu mereka pulang daripada sembahyang sunat tarawih di surau. Ayah papa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala emaknya pula disahkan lumpuh buat selama-lamanya.
          Rasylan cuba untuk mengaturkan pertemuan papa dengan ayah angkatnya itu, tetapi papa menolak kerana kemungkinan dia masih lagi marah kepada Datuk Mustakim yang telah mengakibatkan kematian ibu bapanya.
Bab 14.
Ketika Julia dan Rasylan keluar bersama, Rasylan mengatakan bahawa papa Julia seorang yang sombong. Julia mula berasa berang dengan kenyataan Rasylan itu dan bertanya sebabnya kepada Rasylan. Rasylan memberikan pendapatnya bahawa kedudukan papa sebagai pensyarah di salah sebuah universiti tempatan yang berkelulusan daripada universiti luar negara, telah menyebabkan sikapnya menjadi hidung tinggi.
          Menjelang senja, barulah Julia pulang ke rumah. Di rumah, Julia mendapati Mak Cik Noraini sedang berada di dapur. Papa pula menyindir Julia tentang Rasylan. Papa menyatakan bahawa dia tidak suka Julia berkawan dengan Rasylan.
          Selepas Solat Maghrib, Julia memberanikan diri menanyakan punca tindakan papa tidak merestui hubungannya dengan Rasylan. Menurut papa, latar belakang seseorang itu terutamanya dari sudut asal keturunan amat penting dalam sesuatu hubungan. Namun demikian, Julia masih belum berpuas hati dengan penjelasan papa, tetapi dia terpaksa menerima permintaan papa walaupun dengan berbohong demi menjaga hubungan baiknya dengan papa.
Bab 15.
Julia dan Rasylan mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Mereka ingin meraikan kejayaan itu di Starbucks Coffee di sebuah bangunan pasar raya. Sewaktu mereka sedang melintasi deretan kereta berhampiran pasar raya itu, Julia terpandang kereta Honda CRV milik papa. Julia berasa bimbang kerana takut akan pertemuannya denga Rasylan diketahui papa. Julia terpandang satu pasangan di dalam sebuah restoran yang berhampiran dengan tempat letak kereta papa. Julia tidak menyangka yang dia akan menemui pasangan itu yang asyik makan sambil berbual-bual dan tersenyum serta kadang kala ketawa.
          Pada petang itu, Julia pulang ke rumah denga perasaan tidak tenteram dan dendam yang tidak membuak-buak. Papa kelihatan ceria dan gembira menyambut kepulanganya. Papa mengucapkan tahniah atas kejayaanya dalam peperiksaan SPM. Papa menanyakan universiti yang akan dipilih oleh Julia untuk menyambung pelajarannya. Julia mengatakan bahawa dia berminat menyambung pengajian peringkat matrikulasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana pendidikan agama lebih dititikberatkan di situ.
          Papa meminta Julia menjelaskan sebab pilihan itu dibuat. Julia menjelaskan bahawa setiap wanita Islam wajib menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Julia juga turut menyentuh isu poligami dalam perbincangan tersebut. Wajah papa berubah sebaik sahaja Julia menyebutkan perkataan poligami.
          Julia menolak saranan papa untuk mendapatkan tempat bagi Julia di UIA dengan pertolongan kawan papa di kementerian. Julia juga menyatakan bahawa dia berminat untuk membuat pengkhususan dalam bidang ekonomi dan berharap akan menjadi seorang pakar ekonomi pada suatu hari nanti.
Bab 16
Papa memberitahu mama tentang impian Julia yang ingin memasuki Kolej Matrikulasi di UIA. Kata papa, Julia akan mengambil kursus ekonomi dan ingin menjadi pakar ekonomi yang disegani dan dihormati kelak.
          Permohonan Julia untuk ke Kolej Matrikulasi, UIA telah diterima. Papa akan menemani Julia mendaftar di UIA. Sebelum meninggalkan rumah, Julia ingin menemui mama terlebih dahulu dan menceritakan hal tersebut kepada mama. Setibanya di bilik mama, Julia terdengar papa berbicara dengan mama. Hati Julia tersentuh apabila mendengar kata-kata papa. Julia tahu pastinya papa akan kesunyian setelah ketiadaanya. Malah, Julia juga bimbang akan kegemaran papa kini yang suka bercakap berseorangan dengan mama yang masih lagi koma. Julia seterusnya berjanji kepada papa yang dia akan pulang ke rumah menemani papa dan mama pada setiap hujung minggu sekiranya tiada tugasan atau halangan.
          Papa menghantar Julia untuk pendaftaran pada hari pertama. Julia ditempatkan di Asrama Siti Khadijah. Sebelum naik ke biliknya, Julia berjumpa dengan Rasylan yang juaga menuntut di UIA. Dia ditempatkan di Asrama Usman bin Affan. Rasylan menyatakan bahawa dia serba kekurangan terutamanya kasih sayang berbanding dengan Julia yang sering dilindungi oleh papa. Julia pula hanya mendengar keluhan Rasylan tanpa berkata apa-apa.
          Julia memberitahu Rasylan bahawa dia akan pulang ke rumah pada hujung minggu ini kerana merindui papa, mama dan Mak Cik Noraini. Rasylan pula mengatakan bahawa dia tidak akan pulang ke rumah kerana Datuk Mustakim dan keluarganya tidak ada di rumah. Mereka sekeluarga akan menziarahi anak lelaki Datuk Mustakim yang sedang belajat di MCKK. Rasylan berasa kesunyian dan nasibnya amat berbeza dengan Julia. Julia cuba memujuk Rasylan dengan menyatakan bahawa dia akan sentiasa memujuk Rasylan dengan menyatakan bahawa dia akan sentiasa berada di sisi Rasylan dalam menghadapi segala dugaan.
          Pada keesokan harinya, Rasylan menemani Julia membeli buku di MPH Mid Valley. Selepas membeli empat buah buku, Julia mengajak Rasylan ke Starbucks Coffee. Teguran Rasylan terhadap cara  Julia  berbelanja, menyebabkan Julia teringat akan teguran papa ketika mama berbelanja. Setibanya di kedai itu, Julia terpandang seorang lelaki dan seorang perempuan yang amat dikenalinya sedang duduk minum sambil berbual dengan begitu mesra sekali.
Bab 17.
Julia pulang ke rumah tanpa bertemu dengan Rasylan terlebih dahulu. Dia sudah tidak sabar untuk menemui mama yang masih tidur dengan lena dan dia juga ingin bertanya kepada papa tentang hubungan yang sebenarnya antara papa dengan gadis tersebut.
          Setibanya di rumah pada petang sabtu, Julia terus mendapatkan papa lalu memeluk dan mencium papa. Mak Cik Noraini yang melihat kelakuan papa dan Julia yang dirasakannya agak kurang sopan, terus menegurnya. Katanya, sebagai sebagai anak dara, Julia tidak sepatutnya duduk terlalu rapat dengan papa kerana takut berlaku perkara yang ditegah oleh papa. Papa mengakuinya lalu terus memohon maaf.
          Di dalam biliknya, Julia teringat akan pertemuan papa dengan gadis itu dan memikirkan apa hubungan papa dengannya. Dia tidak pasti sekiranya papa ingin mengambil gadis tersebut sebagai pengganti mama.
          Selesai menunaikan solat, Julia berdoa supaya Allah memanjangkan umur mama dan memberikan kesempatan sekali lagi buat mama supaya kebahagian mereka sekeluarga akan sama seperti dahulu. Julia kemudiannya ke bilik mama. Julia melihat papa sedang membaca Surah Yassin untuk mama dan seterusnya memohon daripada Allah supaya mama selamat. Julia begitu tersentuh dengan segala pengorbabanan yang dilakukan oleh papa terhadap mama. Kini papa banyak meninggalkan sebilangan besar aktiviti semata-mata ingin menjaga mama. Tubuh papa juga semakin kurus dan kulit mukanya juga semakin menampakkan dirinya sudah tua.
          Keesokannya papa menghantar Julia kembali ke UIA. Papa memberikan sejumlah wang yang banyak kepada Julia kerana Julia tidak akan pulang pada minggu hadapan. Sewaktu makan malam, Rasylan menemui Julia dan bertanyakan kesihatan mama dan mereke turut berbincang tentang tugasan yang perlu disiapkan.
          Pada hari minggu, semasa Julia sedang sibuk dengan tugasannya, panggilan telefon papa menggangunya. Pada mulanya Julia enggan menjawab panggilan tersebut, tetapi apabila memikirkan kalau-kalau papa menelefonnya kerana ingin memberitahu tentang mama, Julia terus menjawabnya.
          Tidak lama selepas itu, Rasylan pula yang menelefon Julia dan mengajaknya A&W di Seksyen 17. semasa ingin menemui Rasylan, Julia melihat Encik Muaz al-Khalibi menahan Rasylan dan bercakap-cakap dengannya. Rasylan kemudiannya menjelaskan kepada Julia bahawa dia diminta oleh Encik Muaz al-Khalibi yang berasal dari Jordan itu supaya melakukan ujian DNA kerana wajah Rasylan dikatakan mirip wajahnya. Julia pula tiba-tiba teringat akan pesanan papa supaya tidak bergaul dengan Rasylan kerana mereka tidak tahu akan asal keturunannya.
          Semasa tiba di Restoran A&W, Julia tersentak dan terkaku apabila melihat kereta papa. Julia mencari-cari papa dan hatinya terluka apabila terpandang pasangan yang sama pernah ditemuinya sedang berada di bahagian hujung yang agak terpencil di dalam A&W. Julia terus mengajak Rasylan supaya terus beredar dari situ. Rasylan tidak membantah dan memujuk Julia agar memberikan kesempatan kepada papa untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Bab18.
          Minggu yang berikutnya, Julia pulang ke rumah tanpa memberitahu papa dan Mak Cik Noraini terlebih dahulu. Hasrat Julia untuk memeranjatkan Mak Cik Noraini supaya dia melatah tidak kesampaian apabila terdengar perbualan papa dengan Mak Cik Noraini tentang perkahwinan kedua papa. Mak Cik Noraini bersetuju dengan hasrat papa itu. Bagaimanapun, papa risau akan keputusan dari Julia nanti.
          Julia terus menuju ke biliknya. Sambil menangis, dia berdoa supaya perkara itu tidak terjadi. Selepas itu, Julia turun semula ke ruang tamu dan mendapati papa sedang membaca majalah kesukaannya. Julia memulakan bicara tentang topik poligami yang dibaca oleh papa pada masa itu. Julia sengaja bertanya papa tentang Aisyah dan menyatakan dia pernah melihat papa keluar berdua-duaan dengan Aisyah di beberapa tempat. Kenyataan Julia itu membuat papa menjadi marah, dan papa menuduh Julia suka merayau daripada belajar. Malah papa juga mempersoalkan tempat makan yang dikatakan oleh Julia.
          Seterusnya Julia meminta kepastian daripada papa tentang hasratnya untuk berkahwin lagi. Bagi Julia, mama masih lagi hidup dan memerlukan perhatian papa. Baginya lagi, tindakan papa untuk berkahwin lagi adalah satu tindakan khianat dan curang kepada mama. Kata-kata dan pernyataan Julia kemudiannya dibalas dengan tamparan oleh papa.
          Julia terus berlalu ke biliknya dengan juraian air mata tanpa sebarang pujukan. Keesokannya, Julia terus kembali ke asramanya tanpa bersarapan dengan papa. Ketika melangkah keluar, Julia sempat melihat wajah papa yang penuh kekesalan.
Bab 19.
Rasylan memujuk dan menasihati julia supaya menerima kenyataan dan membenarkan papa berkahwin lagi. Pada pendapat Rasylan, papa memerlukan seseorang yang boleh berkongsi segala-galanya dengannya. Walau bagaimanapun, Julia masih tidak dapat menerima kenyataan ini menyebabkan tumpuan terhadap pelajarannya terganggu. Dia tidak sanggup berkongsi kasih sayang papa dengan perempuan lain.
          Rasylan memaklumkan bahawa keputusan ujian DNAnya adalah positif. Darahnya dengan darah Encik Muaz al-Khalibi adalah dari kelompok yang sama. Hal ini bermakna dia ialah anak kepada Encik Muaz al-Khalibi. Rasylan tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Rasylan berasa sedih dengan nasibnya yang dipelihara di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Begitu juga dengan namanya yang berbinkan Abdullah dan bukannya berbinkan Muaz al-Khalibi.
          Julia tidak pulang ke rumahnya selama dua minggu berturut-turut. Julia bertindak begitu kerana hatinya masih terluka dan tersinggung oleh tindakan papa, dan bukannya kerana dia tidak mengingati mama.
          Hampir setengah jam Julia menunggu Rasylan di Laman Budaya, akhirnya dia melihat Rasylan bersama seorang lelaki, iaitu Encik Muaz al-Khalibi, yang sedang membincangkan sesuatu. Tidal lama selepas itu, Rasylan menghampiri Julia dan memaklumkan kedatangan papa ke kolej untuk berjumpa Julia. Menurutnya, papa hendak membincangkan perkara mustahak dengan Julia. Setelah dinasihati oleh Rasylan, Julia terus menemui papa.
          Papa membawa Julia ke Cofee House Hotel Paya Serai yang sering dikunjungi oleh Julia dan Papa serta Mama sewaktu mama masih sihat. Papa meminta persetujuan Julia untuk berkahwin dan menyatakan rasionalnya dia berbuat sedemikian. Pada mulanya Julia menentang permintaan papa itu tetapi selepas papa memaklumkan kesihatannya, dengan mudah sahaja Julia menyatakan persetujuannya. Keputusan yang dibuatnya itu adalah semata-mata untuk kesejahteraan papa dan kebahagian mereka sekeluarga.
Bab 20.
Rasyalan menceritakan asal usulnya kepada Julia. Ibu Rasylan ialah warga Indonesia yang bekerja sebagai pengemas bilik Encik Muaz al-Khalibi. Mereka mengadakan hubungan sulit kerana desakan hawa nafsu sehinggalah ayahnya, Encik Muaz al- Khalibi tamat belajar dan meninggalkan ibunnya yang mengandungkan Rasylan keseorangan. Setelah Rasylan dilahirkan, ibunya telah meninggalkannya berhampiran dengan longkang yang menghala ke sebuah masjid di bandar Klang. Ibu Rasylan kemudiannya pulang ke Indonesia dan tiada siapa pun yang tahu tentang kehidupannya kini. Rasylan juga tidak berhasrat untuk mencari ibunya itu. Bagi Rasylan, ayahnya ialah Datuk Mustakim yang telah menjaga dan membesarkannya dan bukannya Encik Muaz al-Khalibi.
          Papa menelefon Julia untuk mengajaknya keluar minum dan ingin memperkenalkan bakal isteri keduanya. Julia terpaksa menerima pelawaan papa itu dengan berat hati. Papa memperkenalkan Aisyah sebagai bakal ibu tirinya. Papa membawa mereka minum bersama di sebuah hotel. Papa meminta Julia pulang pada hujung minggu nanti untuk menemaninya sewaktu majlis nikah pada malam tersebut.
          Selepas solat Maghrib, papa bersiap untuk melangsungkan pernikahannya. Julia yang berada di sisi mama ketika itu tidak mempedulikan papa. Pada hakikatnya, dia tidak rela papa berkahwin lain, tetapi demi kebahagian dan keselamatan papa, Julia merelakannya jua. Julia seolah-olah terdengar bisikan keizinan mama dan mengharapkan hidup mereka berdua tidak akan disia-siakan papa.
          Papa mengatakan yang dia akan membatalkan majlis pernikahan yang sudah diatur sekiranya Julia tidak mengizinkan. Namun begitu, Julia meminta supaya papa meneruskannya kerana upacara itu sudah lama dirancang dan dia akan menjaga mama bersama Mak Cik Noraini.
          Julia mengiringi pemergian papa dengan senyuman dan air mata yang mengalir deras. Mak Cik Noraini hanya tersenyum tetapi kelihatan secalit kekesalan di wajahnya.
Bab 21.
          Sewaktu Julia sedang duduk menunggu Rasylan, dia didatangi seorang pemuda yang bernama Jeffri. Jeffri berwajah seiras papa tetapi usianya kelihatan lebih muda daripada papa. Jeffri menasihati Julia supaya menerima keputusan papa untuk berkahwin lagi dengan hati yang ikhlas dan reda demi kebahagiaan keluarganya. Julia akhirnya reda dengan perkahwinan papa manakala Jeffri pula mengucapkan terima kasih kepada Julia.
          Julia tersedar daripada mimpinya apabila seseorang mencium keningnya. Julia melihat papa bersama dengan isteri barunya, Mak Cik Aisyah berada di sisi Julia. Papa memberitahu bahawa Julia diserang demam panas lalu membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Julia memberitahu papa bahawa dia bermimpi berjumpa denganseorang lelaki yang bernama Jeffri.
          Doktor yang datang merawat Julia menasihatinya supaya tidak terlalu mengikut kata hati, sentiasa bertenang dan menerima segala takdir Allah denga hati yang reda. Papa dan isteri barunya itu memandangnya sambil tersenyum. Julia kemudiannya tertidur semula setelah disuntik oleh doktor.
Bab 22
Julia terlantar di hospital selama tiga hari dan selama itu juga, dia tidak dapat menjaga mama. Doktor Razif yang merawatnya menjelaskan bahawa Julia telah mengalami kejutan yang sama dahsyatnya denga trauma orang yang mengalami kemalangan dan turut menumpang masalah orang lain. Doktor menasihatinya supaya bertenang dan menerima segala-galanya dengan hati yang terbuka.
          Papa dan Mak Cik Aisyah datang melawat dan menjemputnya pulang setelah dibenarkan oleh doktor. Setibanya di rumah, mak Cik Noraini menyambutnya dengan celoteh yang tidak berhenti-henti, membuat Julia berasa terhibur.
          Sebaik sahaja cuti pertengahan semester tamat, papa dan Mak Cik Aisyah menghantar Julia ke kampus matrikulasi. Walaupun Mak Cik Aisyah menunjukkan sifat penyayang dan cuba memahami emosi Julia, namu Julia masih belum dapat menerimanya dengan sepenuh hati. Julia memaklumkan bahawa dia tidak balik dalam dua atau tiga minggu kerana ingin menumpukan perhatian kepada pelajarannya bagi menghadapi ujian semester pertama.
          Julia dan Rasylan menghadapi peperiksaan akhir bagi menentukan sama ada mereka akan ditempatkan di kampus induk UIA di Gombak ataupun tidak. Julia berharap hasratnya dan hasrat mama dan papa itu akan termakbul. Julia dan Rasylan juga yakin bahawa mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
          Julia pulang ke rumah untuk bercuti selama enam minggu sesudah peperiksaan akhir berakhir. Semasa duduk berbual-bual dengan papa dan Mak Cik Aisyah di ruang tamu, Julia sengaja  bertanya papa tentang rancangan bulan madu papa dengan Mak Cik Aisyah tetapi papa tidak dapat menjawabnya. Namun, Julia tahu papa sedang berbahagia dengan isteri barunya itu. Hati Julia berasa terguris apabila melihat kemesraan papa dengan Mak Cik Aisyah.
          Julia terdengar papa memarahi Mak Cik Aisyah kerana memasuki bilik mama berseorangan. Papa tidak menyukai perbuatan Mak Cik Aisyah itu kerana ditakuti akan berlaku sebarang musibah yang tidak diingini. Papa hanya membenarkan Mak Cik Aisyah melawat mama sekiranya bertemankannya atau Julia. Mak Cik Aisyah berasa kecewa apabila papa mencurigainya. Mak Cik Aisyah menyatakan dengan ikhlas bahawa dia akan menjaga papa, Julia serta mama dengan baik.
Bab 23.
Julia nekad untuk melipatgandakan usahanya dalam pembelajaran pada semester ketiga dan tidak mahu lagi memikirkan perkara yang remeh-temeh. Dalam pada itu, Julia melihat perubahan pada diri Rasylan yang semakin kacak dan sering menjadi tumpuan pelajar perempuan tidak kira sama ada pelajar junior atau senior. Rasylan juga menyatakan perasaan cemburunya apabila dia melihat Julia ditegur oleh pelajar senior. Namun begitu, bagi Julia itu tidak penting. Yang penting adalah keinginanya untuk menimba ilmu.
          Semasa cuti pertengahan tahun semester bermula, Rasylan dan Julia pulang bersama-sama menaiki bas awam. Dalam perjalanan, mereka bercakap tentang tawaran Encik Muaz al-Khalibi kepada Rasylan. Rasylan menyatakan bahawa dia tidak akan memberitahu Datuk Mustakim tentang tawaran tersebut dan dia sendiri tidak akan menerimanya. Baginya, tawaran itu sudah tidak beerti lagi. Rasylan tidak dapat menerima Encik Muaz al-Khalibi yang mengabaikan tanggungjawabnya dahulu, sebaliknya amat berhutang budi kepada Datuk Mustakim yang telah mengambilnya sebagai anak angkat.
          Julia pula berjanji dan menyakinkan Rasylan bahawa dia tetap akan bersama Rasylan walaupun apa sekalipun keputusan Rasylan. Bagi Rasylan pula, janji yang dilafazkan oleh Julia itu agak terlalu awal kerana mereka tidak tahu apa takdir mereka pada masa hadapan. Namun begitu, Julia tetap dengan pendiriannya walaupun Rasylan yang akan berubah kelak.
Bab 24.
          Setibanya di rumah, Julia mendapati papa tiada di rumah. Mak Cik Noraini menyatakan bahawa papa dan Mak Cik Aisyah di Kelana Jaya. Julia yang sudah mengetahui Mak Cik Aisyah yang kini mengandung, turut berasa gembira kerana dia sudah dapat menerima Mak Cik Aisyah dan akan melahirkan adik kepadanya sebagai penganti kepada Ahmad dan Muhammad.
          Mak Cik Aisyah menegur Julia apabila melihat wajah Julia yang berserabut dan tidak ceria. Dia bertanya kepada Julia jika Julia mempunyai masalah dan mahu berkongsi masalah dengan Julia. Julia menceritakan masalahnya kepada Mak Cik Aisyah. Mak Cik Aisyah menasihati Julia supaya pandai menjaga perasaan dan tahu membezakan antara yang baik dengan yang kurang baik dan apa yang tidak baik langsung. Dia juga menasihati Julia supaya berkompromi dalam hubungannya
          Perbualan Julia dengan Mak Cik Aisyah terhenti apabila papa memaklumkan Rasylan menelefon Julia. Pada mulanya, Julia enggan menjawab panggilan Rasylan itu tetapi papa menegurnya supaya menjawabnya dan menyelesaikan masalah Julia dan Rasylan. Akhirnya, Julia akur.
          Rasylan mengajak Julia berjumpa untuk membincangkan hal mereka. Julia menolak dengan alasan dia ingin menjaga mama pada waktu cuti itu. Julia meminta Rasylan bersabar kerana mereka boleh berjumpa setiap hari apabila semester baru bermula nanti. Akhirnya, Rasylan mengalah dan menerima permintaan Julia asalkan Julia tidak meningalkannya bersendirian untuk menghadapi dugaan hidup.
          Papa yang mendengar segala perbualan Julia dengan Rasylan di telefon menyatakan yang dia akan menolong Julia menolong Julia menukar universiti sekiranya Julia mahu. Julia menolak saranan itu dengan baik, kerana baginya, dia akan tetap menghadapi masalah yang mendatanginya.selepas selesai Solat Maghrib berjemaah, Julia dan papa masuk ke bilik mama. Mereka terkejut apabila mama membuka mata dan mulutnya. Mama mula menggerakkan jari-jemarinya dan menggoyangkan kakinya. Mak Cik Aisyah masuk ke bilik apabila terdengar papa bercakap. Papa memperkenalkan Mak Cik Aisyah kepada mama. Mama amat terkejut apabila mendengar segala keterangan papa. Keadaan mama menjadi tidak stabil dan mama akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Papa menyembamkan mukanya ke rusuk mama. Julia, Mak Cik Noraini dan Mak Cik Aisyah menangis dengan keadaan tersebut. Papa mengangkat mukanya apabila dikejutkan oleh Julia dan perlahan-lahan membetulkan tangan mama. Papa tewas juga akhirnya, apabila Julia melihat kelopak mata papa berair dan jatuh ke pipinya buat kali pertamanya.

Unsur Binaan Ayat

Terdapat dua unsur dalam binaan ayat tunggal iaitu :
1. Subjek
2. Predikat

Subjek ialah konstituen dalam sesuatu ayat yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang berfungsi sebagai frasa nama dan menjadi unsur yang diterangkan.


Predikat ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek.

1. Puan Zalina seorang penulis novel.      
    Subjek : Puan Zalina
    Predikat : seorang penulis novel
2. Petani itu membajak sawahnya setiap hari.
    Subjek : Petani itu
    Predikat : membajak sawahnya setiap hari 
3. Rumah kediaman yang baharu dibeli oleh Habib terletak di atas bukit.
    Subjek : Rumah kediaman yang baharu dibeli oleh Habib 
    Predikat : terletak di atas bukit
NOTA :  
Pembahagian atau pemenggalan kepada frasa subjek dan predikat bagi sesuatu ayat tidak boleh dilakukan tanpa peraturan. Dalam ayat (2) di atas, unsur itu membajak, misalnya tidak boleh digabungkan untuk menjadi binaan sebab bentuk itu dan membajak termasuk ke dalam kelompok unsur berasingan. Oleh itu, ayat (2) tidak mungkin boleh dipenggal dengan memisahkan petani sahaja sebagai frasa subjek, dan itu membajak sawahnya setiap hari sebagai frasa predikat.
Latihan
 Kenal pasti dan tulis subjek dan  predikat  bagi setiap ayat seperti yang berikut.
1. Habib pergi ke Pulau Pangkor kelmarin.
2. Rajin sungguh budak itu membersihkan kawasan rumahnya.
3. Dengan cermatnya, dia memandu kereta baharu itu.
4. Gadis yang berbaju jingga itu adik bongsu Hafizam.
5. Cikgu Wani mengajarkan Bahasa Melayu kepada murid Tingkatan 5D.

POLA BINAAN AYAT BAHASA MELAYU

Terdapat empat pola binaan ayat dalam Bahasa Melayu iaitu :

1. Frasa Nama + Frasa Nama ( FN+FN )
2. Frasa Nama + Frasa Kerja  ( FN+FK )
3. Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN+FA )
4. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN+ FSN )

Contoh :
1. Puan Fatimah  seorang penulis novel
         FN          +         FN

2. Pak Abu    sedang menanam pokok
         FN     +              FK

3. Suara Datuk Siti Nurhaliza   sangat merdu
         FN                              +          FA

4. Rumah itu    terletak di atas bukit
        FN      +          FSN