Monday, 18 March 2013

SINOPSIS NOVEL KONSERTO TERAKHIR



Hilmi berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dia menumpang tinggal di rumah sepupu bapanya iaitu Datuk Johari. Walau bagaimanapun, kehadiran Hilmi tidak disukai oleh Datin Salmah kerana Datin Salmah memandang hina terhadap orang kampung yang miskin seperti Hilmi. Datuk Johari menawarkan kerja kepada Hilmi iaitu sebagai tukang kebun di rumahnya. Kerajinan dan sifat artistik yang dimiliki oleh Hilmi telah mengubah lanskap di kawasan pekarangan rumah Datuk Johari hingga menjadi lebih cantik.

            Hayati, anak Datuk Johari pula tertarik oleh kebolehan Hilmi bermain piano.  Hubungan Hayati dengan Hilmi yang semakin rapat menyebabkan Datin Salmah bertekad untuk menghalau Hilmi dari rumahnya. Hilmi kemudiannya meninggalkan rumah Datuk Johari dan belajar bermain alat muzik daripada Encik Bakar. Seterusnya, Hilmi berjaya menjadi seorang pemain alat muzik dan penggubah lagu yang terkenal. Sebelum berangkat ke London dengan suaminya, Hayati datang berjumpa dengan Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.

            Orkestra Hilmi berjaya memenangi Festival Muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan Azizah tetapi Azizah meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi terjatuh dan terlantar di hospital pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana.” Ketika itu, Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana”. Di hospital pula, Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi sebenarnya ialah anak Datuk Johari hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi sebelum itu. Akhirnya, Datuk Johari meninggal dunia secara mengejut selepas menerima berita kematian Hilmi.

No comments:

Post a Comment